Kos BESS Sabah Lebih Tinggi, Ini Sebabnya

Projek Battery Energy Storage System (BESS) di Lahad Datu, Sabah yang berkapasiti 100 megawatt (MW) / 400 megawatt-jam (MWh) sedang dibangunkan oleh MSR Green Energy Sdn Bhd untuk Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), bakal menjadi antara terbesar di Asia Tenggara.

Tapi, mengapa harganya tinggi?

Ahli Parlimen Warisan dari Kota Belud, Isnaraiisah Munirah Majilis, membangkitkan persoalan “Saya dengar projek BESS Sabah kosnya RM650 juta, sedangkan di Semenanjung cuma RM300 juta. Kapasiti sama, kontraktor pun sama. Kenapa beza sampai begitu banyak?” ini antara jawapannya mengapa BESS di Sabah lebih tinggi harganya.

1. Lokasi jauh, kos naik

Projek ini bukan di tengah bandar – ia terletak di Lahad Datu. Semua peralatan besar seperti bateri, inverter dan kontena khas perlu diimport dari luar negara sebelum dibawa masuk melalui pelabuhan dan jalan darat. Logistiknya rumit, kosnya pun bertambah.

2. Grid Sabah lain daripada Semenanjung

Sabah punya rangkaian elektrik sendiri, berbeza dengan Semenanjung. Untuk sambungkan BESS ini, jurutera perlu pasang sistem kawalan dan perlindungan khas. Kos kerja awam seperti asas tapak yang kukuh juga menambah bajet.

3. Simpan tenaga lebih lama

BESS ini mampu simpan tenaga sehingga 4 jam – lebih lama daripada projek biasa di luar negara yang biasanya 1–2 jam. Lagi lama tempoh simpanan, lagi besar kapasiti bateri, lagi tinggi kosnya.

4. Iklim panas lembap perlukan sistem tambahan

Di Sabah, kelembapan dan suhu tinggi bukan main-main. Jadi, sistem pendingin udara, kawalan kelembapan, dan pemadam kebakaran canggih wajib ada. Semua ini bukan murah.

5. Projek sulung, kos ‘premium’

Ini projek BESS pertama berskala besar di Sabah. Bila belum ada projek rujukan, kontraktor dan pembekal biasanya kenakan kos lebih tinggi kerana risiko dan ketidaktentuan.

Sebagai seorang bekas Timbalan Menteri Tenaga, Sains dan Alam Sekitar, YB Ahli Parlimen Kota Belud tentunya lebih memahami dan mengerti soal kos ini. 

Berdasarkan anggaran global, harga pasaran untuk BESS berkisar antara US$300–US$400 per kWh. Kos dikira berdasarkan kWh. Tentunya Ahli Parlimen Kota Belud lebih mengerti dan faham, patutnya bahas mengikut kos per kWh, lokasi projek dan kapasiti projek bukan membandingkan projek di Sabah dengan dua faktor ini iaitu Semenanjung dengan kontraktor.

Ringkasnya, harga tinggi ini gabungan faktor lokasi terpencil, reka bentuk khas, kapasiti besar, dan faktor cuaca. Namun, apabila Sabah sudah ada pengalaman dan lebih banyak projek seperti ini dilaksanakan, kos untuk membangunkan projek BESS kedua dijangka turun.

Back To Top