SPRM akan dakwa Rafizi Ramli dan James Chai esok?

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan mencadangkan pertuduhan terhadap bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dan seorang individu dikenali sebagai James Chai berhubung siasatan melibatkan urus niaga pelaburan semikonduktor bernilai kira-kira RM1.1 bilion.

Siasatan tersebut dikaitkan dengan syarikat gergasi semikonduktor British, Arm Holdings Plc, yang menjadi tumpuan dalam transaksi berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pihaknya kini berada di peringkat akhir melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Menurut beliau, seramai 22 saksi telah dirakam keterangan setakat ini, termasuk Rafizi Ramli dan James Chai. Bagaimanapun, dua lagi saksi masih belum diambil keterangan, masing-masing melibatkan seorang individu di Taiwan dan seorang lagi di dalam negara.

Ketika ditanya sama ada individu berkenaan ialah Rafizi dan James Chai, Azam Baki memilih untuk tidak mengulas. Namun, media sudah menjangka Rafizi dan James Chai bakal dikenakan pertuduhan.

Sejak dua hari lalu, Rafizi dipanggil untuk memberikan keterangan, manakala hari ini beliau dipanggil pada sebelah petang. Pada kebiasaannya, SPRM akan membuat pertuduhan pada keesokan hari.

Siasatan dijalankan di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna kuasa, Seksyen 420 Kanun Keseksaan (penipuan), serta Seksyen 409 berkaitan pecah amanah jenayah.

Menurut sumber, kertas pendakwaan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi pertimbangan pertuduhan terhadap Rafizi dan James Chai.

Back To Top