KUALA LUMPUR — Tempoh enam tahun kepimpinan Tan Sri Azam Baki di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus dibayangi kontroversi apabila Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center) menuntut kerajaan mendedahkan secara penuh hasil siasatan berkaitan isu pegangan saham bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Desakan tersebut dibuat hanya beberapa hari selepas Azam menamatkan perkhidmatannya pada 12 Mei lalu, sekali gus membuka semula perdebatan mengenai integriti institusi antirasuah negara serta tahap akauntabiliti dalam kepimpinan tertinggi SPRM.
C4 Center dalam satu kenyataan menegaskan bahawa rakyat berhak mengetahui hasil sebenar siasatan terhadap kontroversi yang dikaitkan dengan Azam, termasuk dakwaan beliau memiliki pegangan saham yang didakwa melangkaui had dibenarkan untuk penjawat awam.
Pada Februari lalu, Bloomberg melaporkan bahawa Azam didakwa memiliki kira-kira 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, jumlah yang jauh melebihi had pemilikan saham RM100,000 yang dikenakan ke atas penjawat awam. Azam bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dan mendakwa saham berkenaan telah dilupuskan pada Julai 2025 sebelum beliau memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Bloomberg.
Namun bagi C4 Center, isu tersebut tidak boleh dianggap selesai selagi kerajaan gagal memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat mengenai hasil siasatan sebenar.
“Walaupun sebelum ini kerajaan memberi bayangan bahawa hasil siasatan akan diumumkan, sehingga kini tiada sebarang pendedahan bermakna dibuat kepada umum,” menurut kenyataan badan pemantau antirasuah itu.
Selain kontroversi pegangan saham, C4 Center turut membangkitkan beberapa dakwaan lain yang menurut mereka terus menjejaskan kredibiliti SPRM, termasuk tindakan saman Strategic Lawsuits Against Public Participation (SLAPP) terhadap wartawan dan pengkritik, dakwaan pendakwaan terpilih terhadap musuh politik kerajaan serta dakwaan penyalahgunaan operasi melibatkan Bahagian “D” SPRM yang dikaitkan dengan apa yang digelar sebagai “Mafia Korporat”.
Badan itu turut memberi amaran bahawa kegagalan kerajaan menangani dakwaan berhubung hubungan antara pegawai tertentu SPRM dan kelompok “Mafia Korporat” hanya akan memperkukuhkan persepsi negatif rakyat terhadap institusi penguat kuasa tersebut.
Dalam masa sama, C4 Center menegaskan pelantikan Dato’ Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu tidak secara automatik memulihkan keyakinan rakyat sekiranya reformasi institusi yang menyeluruh gagal dilaksanakan.
Menurut mereka, Abdul Halim kini memikul tanggungjawab besar untuk membersihkan imej SPRM serta mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap badan antirasuah itu selepas bertahun-tahun dihimpit kontroversi politik dan persepsi campur tangan kuasa.
C4 Center turut menggesa penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen khusus bagi memantau SPRM, termasuk memberi kuasa kepada jawatankuasa itu untuk memanggil saksi, meneliti dokumen serta menyelia proses pelantikan dan penamatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Selain itu, mereka mencadangkan supaya SPRM diletakkan di bawah pemantauan Ombudsman Malaysia bagi membolehkan siasatan bebas dijalankan terhadap sebarang dakwaan salah guna kuasa atau salah tadbir dalam agensi tersebut.
Badan pemantau itu turut mengingatkan bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International masih gagal menunjukkan peningkatan ketara sepanjang enam tahun kebelakangan ini walaupun SPRM kerap menampilkan operasi besar dan tangkapan berprofil tinggi.
Menurut mereka, selagi undang-undang dilihat tidak dilaksanakan secara adil terhadap semua pihak, keyakinan rakyat terhadap SPRM akan terus berada dalam keadaan rapuh.
“Hanya reformasi sebenar dan ketelusan penuh mampu memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap institusi antirasuah negara,” kata C4 Center.
