Tan Sri Datuk Alex Ooi Ditahan Bersama Rolls-Royce Ghost Berharga RM1.45 juta

Op Northern Star yang dilancarkan oleh Bukit Aman telah menahan seorang Tan Sri pada 3 Mei 2025. Sumber maklumat dalaman melaporkan Tan Sri yang dimaksudkan itu adalah Tan Sri Datuk Alex Ooi, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif kepada syarikat Ideal Property Group. Semasa serbuan, pihak berkuasa turut merampas sebuah kereta mewah Rolls-Royce Ghost berwarna putih dan sebuah Ford Ranger Raptor milik Tan Sri Datuk Alex Ooi. Sebuah Rolls-Royce Ghost ini bernilai lebih RM1.45 juta.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali ketika mengesahkan penahanan itu berkata, lelaki terbabit kini direman lima hari bagi membantu siasatan.

“Individu terbabit telah dibawa ke pejabat dan rumahnya serta beberapa dokumen yang sepatutnya dirampas untuk siasatan lanjut selain dijadikan bahan bukti,” kata Datuk Muhammed Hasbullah Ali.

Hari ini sudah masuk hari ketiga Tan Sri Datuk Alex Ooi ditahan reman, masih berbaki dua hari lagi tahanan remannya. Tan Sri Datuk Alex Ooi individu yang sama pernah ditahan untuk soal siasat bulan lalu tetapi dibebaskan pada hari yang sama.

11 April lalu Polis Diraja Malaysia (PDRM)  mengumumkan menumpaskan Skim Pelaburan MBI atau Ops Pelaburan Northern Star dengan pembekuan aset RM3,174,769,204.74 (atau RM3.17 bilion), melibatkan akaun bank dan saham ( RM1,16b), Hartanah 35 unit (RM2.005 bilion), kenderaan Mewah (10 buah), jam tangan mewah (12 unit), barang kemas,  telefon bimbit,  laptop, beg tangan mewah dan dokumen lain.

Siasatan terhadap kes MBI ini telah dijalankan selama lebih tujuh tahun. Berdasarkan Notis Merah Interpol, terdapat sekitar 11 juta mangsa dari negara jiran.

Pada Ogos tahun lalu, pengasas MBI Tedy Teow telah dihantar pulang dari Thailand ke China bagi membantu siasatan kerajaan China berhubung peranannya dalam skim piramid tersebut.

Dilaporkan bahawa sekitar dua juta rakyat China telah menjadi mangsa penipuan Tedy Teow yang melibatkan sejumlah 500 bilion yuan (kira-kira RM300 bilion).

Ketika berada di kemuncaknya, MBI dikatakan telah mengumpul berbilion ringgit daripada para pelabur. Namun, apabila skim piramid tersebut runtuh pada tahun 2018 selepas serbuan oleh Bank Negara, para pelabur hampir tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan semula wang mereka.

Selain terlibat dalam sektor hartanah Tan Sri Datuk Alex Ooi rakan niaga Gamuda fasa pertama projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang melalui penglibatan syarikatnya dalam SRS Consortium Sdn Bhd. SRS Consortium telah dilantik sebagai kontraktor utama untuk pakej kerja awalan projek LRT Mutiara Line, yang merangkumi laluan sepanjang 24km dari Komtar ke Pulau Silicon, dengan nilai kontrak melebihi RM8 bilion.

Ideal Property Development Sdn Bhd, anak syarikat Ideal Property Group, memiliki 20% saham dalam SRS Consortium. Pemilihan SRS Consortium sebagai rakan pelaksana projek ini dibuat oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pada tahun 2015. Kerajaan persekutuan mengambil alih projek ini pada tahun 2024, mereka mengekalkan SRS Consortium sebagai kontraktor utama secara rundingan terus untuk mengelakkan isu undang-undang yang mungkin timbul akibat pembatalan kontrak sedia ada.

Back To Top