SPRM Ambil Keterangan Individu Di Taiwan, UK Dalam Siasatan Pelaburan RM1.1 Bilion- KP SPRM

PETALING JAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memperluaskan siasatan melibatkan pelaburan bernilai RM1.1 bilion berkaitan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan syarikat teknologi global, Arm Holdings, termasuk mendapatkan keterangan beberapa individu di Taiwan dan United Kingdom (UK).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman berkata, langkah itu diambil bagi melengkapkan siasatan yang kini melibatkan kerjasama rentas sempadan serta bantuan perundangan bersama daripada Jabatan Peguam Negara.

Menurut beliau, setakat ini seramai 26 individu telah dirakam keterangan termasuk bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan bekas pembantunya, Chai Jin Shern.

“Kes ini melibatkan dua bidang kuasa berbeza, jadi proses mendapatkan maklumat dan dokumentasi memerlukan pematuhan kepada pelbagai prosedur undang-undang antarabangsa.

“Maklum balas daripada pihak luar negara juga mengambil sedikit masa, menyebabkan siasatan ini dijangka berlanjutan,” katanya kepada media hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa SPRM sedang meneliti pelbagai dokumen berkaitan yang diserahkan oleh Rafizi bagi membantu proses penyiasatan dan pengumpulan bahan bukti.

Dalam perkembangan berasingan, Abd Halim berkata siasatan terhadap cadangan pengambilalihan sukarela IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad masih diteruskan selepas SPRM menemui unsur yang berpotensi melibatkan penyelewengan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati terdapat elemen yang boleh disiasat di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Katanya, dua individu sedang menjadi fokus utama siasatan, manakala seramai 13 saksi telah dipanggil setakat ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kertas siasatan masih aktif dan SPRM mendapati terdapat unsur-unsur yang memerlukan penelitian lanjut di bawah undang-undang berkaitan,” katanya lagi.

Back To Top