
KUALA LUMPUR: Kementerian Digital dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Digital Nasional Bhd (DNB) serta sokongan SME Corp Malaysia melancarkan Program EmpowerHER Digital bagi memperkasa wanita golongan B40 dengan kemahiran digital serta akses pasaran.
Inisiatif itu bertujuan membantu mereka menjana pendapatan dan membangunkan perniagaan mampan dalam ekonomi digital.
Program itu menawarkan bengkel interaktif, sesi perkongsian industri dan pameran mini yang memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari strategi perniagaan digital, penjenamaan atas talian, serta pembiayaan dan akses pasaran.
Antara rakan industri utama yang terlibat termasuk Shopee, TikTok, CGC Digital, dan Pixlr. Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata hampir 220,000 usahawan wanita telah menceburi e-dagang melalui pelbagai platform, tetapi hanya 12.63 peratus menerima latihan selepas penyertaan awal.
“Ini menunjukkan bahawa ramai wanita masih memerlukan bimbingan berterusan agar mereka bukan sekadar berdaftar di platform digital, tetapi juga mampu bersaing dan berjaya.”Data juga menunjukkan bahawa hampir 57,000 wanita peniaga dalam talian tidak berjaya mencapai sebarang jualan, manakala sebahagian besar hanya memperoleh pendapatan di bawah RM1,000,” katanya semasa pelancaran Program EmpowerHER, di sini, hari ini.

Gobind berkata, masih terdapat halangan dalam memanfaatkan sepenuhnya peluang ekonomi digital dan kerajaan berperanan untuk membantu golongan ini maju ke hadapan.
“Saya yakin, apabila lebih ramai wanita diberi peluang dalam ekonomi digital, kesannya tidak hanya kepada individu tetapi juga akan turut menyumbang kepada pembangunan komuniti dan memberi impak positif kepada ekonomi negara.
“Saya tidak mahu program ini terhenti di sini. Kita akan memperluaskan EmpowerHER Digital ke lebih banyak negeri, supaya lebih ramai wanita sama ada di bandar atau luar bandar, dapat merasai manfaatnya,” katanya.
Katanya, kerajaan juga telah mengambil langkah untuk memastikan kewujudan program latihan yang bersesuaian serta sentiasa menilai aspek penambahbaikan, termasuk dari segi modul dan skop latihan yang perlu disediakan.
“Walaupun kita mempunyai infrastruktur yang canggih dan selamat serta berpotensi memperkasakan perniagaan, namun jika ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya, matlamat pembangunan ekonomi digital tidak akan tercapai.
“Oleh itu, kerajaan bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan ekosistem dan infrastruktur, tetapi turut memberi perhatian kepada pembangunan bakat bagi memastikan keberkesanan inisiatif ini.
“Latihan yang disediakan turut memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran tertentu, termasuk golongan wanita. Saya berharap menjelang akhir tahun ini, akan terdapat peningkatan dalam jumlah individu yang menerima latihan ini,” katanya.