SPRM serbu pejabat Cawangan Pematuhan Strategik LHDN dan syarikat milik ejen cukai Perumal Manimaran

SPRM dilaporkan menyerbu pejabat Cawangan Pematuhan Strategik (CPS) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), premis syarikat dan kediaman Perumal Manimaran sekitar Kuala Lumpur, susulan penahanannya dalam siasatan dakwaan pengurangan cukai kira-kira RM200 juta.

Serbuan yang dilaporkan itu membawa perhatian kepada pengendalian fail cukai di CPS, termasuk pihak yang menyemak dokumen, memperakukan pengurangan dan meluluskan keputusan berkenaan.

Laporan media pada 4 Oktober seorang ejen cukai Perumal Manimaran, yang dikaitkan dengan Future Trend Corporate Advisory Sdn Bhd, ditahan pada 30 September ketika hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM.

Tempoh remannya dilaporkan 6 hari selepas dilanjutkan selama tiga hari, dari 4 hingga 6 Oktober, selepas permohonan SPRM dibenarkan Mahkamah Majistret Putrajaya.

Siasatan awal dilaporkan membabitkan dakwaan manipulasi akaun kira-kira 480 syarikat, penggunaan dokumen mengandungi butiran material palsu dan pemberian rasuah kepada seorang pegawai penguatkuasaan.

Kegiatan berkenaan disyaki berlaku antara 2018 hingga 2026.

Jejak kelulusan cukai jadi persoalan

Dakwaan pengurangan cukai RM200 juta membangkitkan persoalan tentang bagaimana dokumen terbabit diproses dan apakah asas yang digunakan untuk memperakukan keputusan tersebut.

Siapa mengendalikan fail syarikat berkenaan? Siapa mempunyai kuasa mengubah taksiran? Apakah pengurangan yang dipersoalkan itu melalui semakan sewajarnya?

Penahanan Perumal perlu disusuli penelitian terhadap keseluruhan rantaian keputusan, termasuk komunikasi antara pihak syarikat dengan pegawai yang mengendalikan urusan cukai mereka.

Rekod pertemuan, arahan dalaman dan perubahan taksiran menjadi perkara penting untuk ditelusuri bagi mengenal pasti peranan setiap pihak.

Kenderaan mewah dirampas, akaun dibekukan

Laporan sama menyebut SPRM menggeledah 12 lokasi meliputi pejabat dan kediaman suspek.

Sebanyak 25 kenderaan mewah dengan anggaran nilai RM25 juta dilaporkan dirampas, manakala empat akaun bank peribadi dan tiga akaun syarikat melibatkan kira-kira RM3 juta dibekukan.

Rampasan itu menambahkan persoalan mengenai sumber aset dan aliran wang yang perlu dipadankan dengan transaksi dalam kes yang disiasat.

LHDN perlu menjelaskan bagaimana fail cukai berkenaan dikendalikan dan sama ada semakan dalaman telah dimulakan terhadap keputusan yang dipersoalkan.

Siasatan terhadap dakwaan “Kartel LHDN” juga perlu menelusuri pihak yang menyediakan dokumen, pegawai yang memprosesnya dan penerima manfaat daripada pengurangan cukai tersebut.

Persoalan yang masih belum terjawab ialah siapa yang membolehkan urusan itu melepasi setiap peringkat semakan dan kelulusan.

Tangan-tangan ghaib

Tangan-tangan ghaib didakwa mula mencampuri siasatan susulan serbuan ke pejabat Cawangan Pematuhan Strategik (CPS) LHDN dan penangkapan Perumal Manimaran, dengan pihak atasan yang disebut sebagai “Kartel F” dikatakan mengarahkan siasatan terhadap Mathan Kaliappan dan Perumal dihentikan atas alasan CPS berjaya mengutip cukai daripada syarikat-syarikat besar. Dakwaan campur tangan ini perlu disiasat: kejayaan kutipan cukai bukan alasan untuk menyekat penelitian terhadap kemungkinan salah laku.

SPRM digesa tidak tunduk kepada tekanan dan meneruskan siasatan berdasarkan bukti, tanpa mengira jawatan atau pengaruh pihak yang terlibat.

Back To Top