PUTRAJAYA, 18 November 2026 — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa ia telah menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti dakwaan ahli perniagaan Bachar Kiwan yang dilaporkan oleh Sarawak Report sejak 16 Ogos lalu. Perkembangan itu menimbulkan satu lagi persoalan tentang ketelusan SPRM. Adakah dakwaan mengenai kaitan pegawainya dengan pihak yang dilabel ‘mafia korporat’ turut disiasat?
Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata siasatan dalaman itu dijalankan atas arahan Ketua Pesuruhjayanya supaya dakwaan Kiwan diteliti secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya dapat diambil. SPRM turut memaklumkan bahawa ia merakam percakapan ahli perniagaan Albert Tei pada hari yang sama selepas beliau hadir membuat aduan berhubung isu berkenaan di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

SPRM perincikan pertemuan dengan Kiwan
Menurut SPRM, pertemuan pegawainya dengan Kiwan merupakan sebahagian daripada proses meneliti dan mengesahkan maklumat berkaitan pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Wakil Jabatan Peguam Negara turut menghadiri setiap perbincangan. SPRM berkata Kiwan telah dimaklumkan pada pertemuan 2 Disember 2025 bahawa beliau tidak dikategorikan sebagai individu yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Mengenai ganjaran dan pembahagian hasil pemulihan aset, SPRM berkata terma yang dilaporkan merupakan draf daripada pihak Kiwan yang tidak pernah dipersetujui atau ditandatangani oleh suruhanjaya itu. SPRM turut menafikan penglibatan dalam pelantikan peguam dan menyatakan bahawa keputusan firma guaman untuk menarik diri dibuat oleh firma berkenaan.
SPRM berkata ia menghentikan kerjasama dengan Kiwan selepas memperoleh dokumen rasmi dan rekod sah daripada pihak berkuasa Kuwait melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA). Suruhanjaya itu turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama sekiranya agensi penguat kuasa lain, termasuk Polis Diraja Malaysia, menjalankan siasatan.
Isu saham Azam Baki, dakwaan terhadap Yuhafiz dan Buyau, serta pertukaran Wong Yun Fui: Apa penjelasan SPRM?
Dalam kenyataannya mengenai Bachar Kiwan, SPRM memperincikan arahan siasatan dalaman, tujuan pertemuan dengan ahli perniagaan itu dan sebab kerjasama dengannya dihentikan. Laporan berhubung isu Kiwan turut menyebut nama Tan Sri Azam Baki. Perincian yang diberikan oleh SPRM dalam kes ini menimbulkan satu persoalan.
Bilakah suruhanjaya itu akan memberi penjelasan setara mengenai isu pemilikan saham Azam Baki dan dakwaan terhadap pegawainya sendiri?
Dalam isu berasingan, nama Yuhafiz dan Buyau disebut dalam dakwaan mengenai kegiatan yang digelar ‘mafia korporat’, yang turut menyentuh Victor Chin Boon Long dan Chong Long Men. Bahan yang dikemukakan bagi menyokong dakwaan itu telah didedahkan kepada umum, namun masih belum jelas sama ada SPRM telah membuka siasatan. Sekalipun Wong Yun Fui ditukar ke Akademi SPRM nampaknya mafia korporat kekal berkuasa.
Jika minit berkaitan pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Razak boleh bocor kepada umum, mengapa status dan dapatan siasatan berhubung pemilikan saham Azam Baki masih belum diperjelas secara terbuka? SPRM boleh menjawab persoalan itu dengan menyatakan sama ada siasatan telah selesai dan apa tindakan susulan yang boleh dimaklumkan kepada orang ramai.
Berhubung dakwaan terhadap pegawainya pula, SPRM perlu menjawab beberapa soalan. Mengapa aduan rasmi tidak diambil tindakan? Apakah setakat dipindahkan? Adakah siasatan dalaman telah dibuka, dan apakah statusnya? Siapa yang mengendalikannya dan bagaimana sebarang konflik kepentingan ditangani? Tahap keterbukaan yang ditunjukkan dalam isu Kiwan juga perlu diterapkan apabila dakwaan melibatkan pegawai SPRM sendiri. Atau jika Azam Baki dan Zamri Zainul Abidin (Bekas AMLA) terlibat siasatlah mereka.
