Surat bertarikh 31 Mei 2021 menunjukkan SPRM pernah menutup siasatan terhadap tiga isu TH Plantations. Selepas RCI mendedahkan kelemahan tadbir urus dan kerugian pelaburan melibatkan entiti yang sama, Azam Baki serta kepimpinan THP perlu dipanggil untuk menjelaskan asas keputusan terdahulu.
KUALA LUMPUR: Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) sepatutnya membuka semula penelitian terhadap peranan dua tokoh penting—Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki, dan Pengerusi TH Plantations Berhad (THP) ketika surat siasatan dikeluarkan, Tan Sri Abu Talib Othman.
Surat rasmi SPRM bertarikh 31 Mei 2021, yang ditandatangani Azam dan dialamatkan kepada Abu Talib, menunjukkan siasatan terhadap tiga isu besar THP pernah dijalankan sebelum dihentikan.


Antaranya ialah pembelian Bumi Suria Venture Sdn Bhd dan Maju Warisanmas Sdn Bhd, pengambilalihan PT Persada Kencana Prima di Indonesia serta hubungan pegawai THP dengan Susanna Lim & Partners dan SLS Consultancy Sdn Bhd.
Masalahnya, entiti yang dinyatakan dalam surat SPRM itu kemudiannya muncul dalam laporan RCI sebagai sebahagian daripada pengambilalihan ladang yang dikaitkan dengan kelemahan tadbir urus, prestasi aset mengecewakan dan rosot nilai kira-kira RM170 juta.
Jika siasatan SPRM pada 2021 benar-benar menyeluruh, mengapa kelemahan material yang diketengahkan oleh RCI tidak menghasilkan tindakan atau sekurang-kurangnya penelitian lebih mendalam?
Surat Azam Baki kini menjadi dokumen yang membebankan SPRM
Azam tidak boleh sekadar berlindung di sebalik kenyataan bahawa kertas siasatan telah “diteliti oleh Timbalan Pendakwa Raya”.
Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menandatangani surat tersebut, beliau perlu menjelaskan asas SPRM menyimpulkan bahawa proses pembelian dibuat secara teratur, sedangkan semakan forensik PricewaterhouseCoopers (PwC) bertarikh 25 April 2019 telah mengenal pasti kelemahan tadbir urus dalam pengambilalihan ladang THP.
Laporan PwC itu wujud hampir dua tahun sebelum surat Azam dikeluarkan.
Justeru, persoalan paling besar ialah sama ada laporan forensik tersebut diperoleh dan diteliti oleh pasukan penyiasat SPRM.
Jika laporan PwC diperiksa, mengapa kelemahan yang dikenal pasti tidak dihuraikan dalam surat Azam? Jika tidak diperiksa, bagaimana SPRM boleh menyatakan proses pembelian telah dilakukan secara teratur dan melalui usaha wajar?
Surat tersebut hanya menyebut bahawa penilaian kewangan, perundangan dan due diligence telah dilakukan. Namun, ia tidak menjelaskan siapa yang menjalankan penilaian, sejauh mana ketepatannya diuji dan sama ada penilai atau penasihat transaksi pernah dipanggil memberikan keterangan.
Lebih membimbangkan, surat itu tidak menjelaskan sama ada SPRM meneliti kemungkinan kecuaian serius, konflik kepentingan, pelanggaran tanggungjawab fidusiari, pemalsuan maklumat atau representasi mengelirukan kepada lembaga pengarah.
Azam kini perlu menjawab sama ada siasatan tersebut benar-benar menguji keseluruhan rantaian keputusan atau hanya mengesahkan bahawa kelulusan lembaga dan dokumen usaha wajar memang wujud.
Kelulusan lembaga bukan bukti sesuatu urus niaga itu bebas daripada manipulasi atau salah laku. Ia hanya menunjukkan satu keputusan telah dibuat.
Mengapa Azam Baki mengeluarkan surat tersebut kepada Tan Sri Abu Bakar? Apakah ia ‘kawtim’ kerana Tan Sru Abu Bakar ketika itu merupakan Pengerusi TH Plantations Berhad (THP) dan Lembaga Pengarah Tabung Haji.
Mengapa pembelian RM370 juta dianggap teratur?
Surat Azam menyatakan pembelian keseluruhan saham Bumi Suria Venture dan Maju Warisanmas daripada Weida (M) Berhad pada harga RM370 juta telah diputuskan oleh ahli lembaga pengarah THP.
Selepas kertas siasatan diteliti Timbalan Pendakwa Raya, keputusan dibuat supaya siasatan dihentikan.
Bagaimanapun, laporan RCI kemudian mengaitkan kedua-dua syarikat itu dengan pengambilalihan ladang yang gagal mencapai prestasi diharapkan.
Pelaburan berkenaan dilaporkan dibiayai terutamanya melalui Sukuk berjumlah RM1.2 bilion, tetapi hanya sekitar 58 peratus ladang yang diperoleh menjadi produktif. THP akhirnya terpaksa melupuskan aset dan mengurangkan penyelenggaraan bagi memenuhi kewajipan hutang, sebelum mengiktiraf rosot nilai kira-kira RM170 juta.
Azam perlu menjelaskan bagaimana SPRM mengukur bahawa pembelian tersebut “teratur”.
Adakah SPRM hanya memeriksa prosedur atas kertas, atau turut menilai kewajaran harga, keadaan sebenar ladang, unjuran hasil, produktiviti aset, liabiliti tersembunyi dan ketepatan maklumat yang dibentangkan kepada lembaga?
Sesuatu urus niaga mungkin kelihatan lengkap dari sudut dokumentasi, tetapi masih boleh dipengaruhi oleh penilaian terlalu tinggi, maklumat tidak lengkap atau kegagalan usaha wajar.
Itulah jurang yang perlu dijawab Azam—bukan sekadar mengulangi bahawa Timbalan Pendakwa Raya pernah melihat kertas siasatan.
Abu Talib bukan sekadar penerima surat
Allahyarham Tan Sri Abu Talib Othman pula tidak boleh digambarkan hanya sebagai penerima pasif surat SPRM.
Surat Azam dengan jelas merujuk kepada surat Abu Talib bertarikh 24 Mac 2021. Ini menunjukkan beliau sendiri telah berhubung dengan SPRM untuk mendapatkan status siasatan berkenaan.
Sebagai Pengerusi THP ketika itu, Abu Talib mempunyai tanggungjawab menjaga kepentingan syarikat dan pemegang saham serta memastikan segala kelemahan yang ditemukan melalui audit atau siasatan ditangani secara telus. Beliau juga adalag Lembaga Pengarah Tabung Haji

Persoalannya, apakah tindakan Abu Talib selepas menerima surat yang memaklumkan bahawa siasatan dihentikan?
Adakah beliau mengarahkan audit dalaman atau audit forensik susulan? Adakah lembaga THP meneliti sebab ladang yang diperoleh gagal mencapai prestasi? Adakah mana-mana pegawai, penasihat atau pihak yang mengemukakan cadangan pengambilalihan dipertanggungjawabkan?
Adakah surat penutupan SPRM itu kemudian dijadikan alasan untuk menghentikan penelitian dalaman terhadap kegagalan pelaburan tersebut?
Minit mesyuarat lembaga, surat-menyurat, arahan pengerusi, laporan audit dan rekod komunikasi dengan SPRM perlu diperoleh. Bekas ahli lembaga, setiausaha syarikat serta pengurusan kanan ketika itu juga perlu dipanggil bagi menjelaskan tindakan Abu Talib dan keputusan institusi yang dibuat di bawah kepemimpinannya.
Tanah susut separuh, tetapi bayaran diselaraskan sahaja?
Pengambilalihan PT Persada Kencana Prima di Indonesia menimbulkan persoalan lebih serius.
Menurut surat Azam, keputusan pembelian dibuat berdasarkan tanah seluas 14,180 hektar yang bernilai IDR71.21 bilion atau kira-kira RM25.98 juta.
Namun, syarikat tersebut gagal menyerahkan keseluruhan tanah yang dijanjikan. THP hanya memperoleh kira-kira 6,928.69 hektar—kurang daripada separuh keluasan asal.
Surat itu menyatakan pembayaran diselaraskan kepada kira-kira RM15.79 juta berdasarkan keluasan tanah yang akhirnya diperoleh dan perubahan tersebut diluluskan oleh lembaga THP.
Tetapi penyesuaian harga bukan jawapan kepada kegagalan asas urus niaga itu.
Bagaimana sebuah pengambilalihan boleh diluluskan berdasarkan 14,180 hektar jika pihak penjual akhirnya hanya mampu menyerahkan 6,928.69 hektar? Apakah bentuk pengesahan hak milik yang dilakukan sebelum kelulusan diberikan?
Siapakah penasihat undang-undang dan penilai yang mengesahkan pemilikan tanah? Apakah jaminan kontrak yang diberikan penjual? Adakah THP menuntut ganti rugi atas kegagalan menyerahkan baki tanah?
Mengapa SPRM kelihatan berpuas hati hanya kerana jumlah bayaran telah diselaraskan, tanpa surat itu menghuraikan bagaimana perbezaan keluasan yang begitu besar boleh berlaku?
Azam perlu menjelaskan sama ada penyiasat SPRM meneliti kemungkinan maklumat palsu, salah nyata atau kecuaian profesional dalam proses tersebut.
Pada masa yang sama, kepimpinan THP di bawah Abu Talib perlu dipersoalkan kerana lembaga dikatakan meluluskan perubahan tersebut. Kelulusan selepas kegagalan penyerahan tanah tidak semestinya menghapuskan tanggungjawab terhadap kelemahan usaha wajar pada peringkat awal.
“Tiada keterangan rasuah”
Surat Azam turut menyatakan bahawa siasatan terhadap hubungan anggota THP dengan Susanna Lim & Partners dan SLS Consultancy Sdn Bhd tidak menemukan keterangan perlakuan rasuah.
Apakah maksud Tan Sri Azam Baki KP SPRM tiada keterangan rasuah ditemukan ketika siasatan tersebut?
RCI menunjukkan siasatan lama mungkin tidak mencukupi
RCI merujuk semakan forensik PwC yang menemukan kelemahan tadbir urus dalam pengambilalihan Bumi Suria Ventures, Maju Warisanmas dan PT Persada Kencana Prima.
Menurut laporan mengenai dapatan RCI, pengambilalihan itu gagal menghasilkan prestasi seperti diharapkan dan menyebabkan rosot nilai kira-kira RM170 juta. RCI turut menyarankan audit forensik terhadap THP bersama 13 pelaburan bermasalah lain.
Dapatan tersebut tidak secara automatik membuktikan rasuah. Namun, ia cukup untuk mempersoalkan ketelitian siasatan SPRM pada 2021 dan tindakan lembaga THP selepas kelemahan pelaburan mula dikenal pasti.
SPRM sendiri telah menubuhkan pasukan khas yang diketuai Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Dato’ Mohd Hafaz Nazar, untuk meneliti kemungkinan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram dalam dapatan RCI. Kenyataan rasmi SPRM.
Pasukan khas itu mesti meneliti bukan sahaja urus niaga THP, tetapi juga cara SPRM mengendalikan siasatan terdahulu.
Jangan biarkan SPRM menyiasat ‘Orang SPRM’ secara tertutup
Apabila keputusan terdahulu SPRM sendiri menjadi sebahagian daripada persoalan, semakan tidak boleh dilakukan secara tertutup tanpa akauntabiliti.
Azam Baki masih perlu dipanggil dan keterangannya direkodkan. Pegawai penyiasat asal, penyelia siasatan serta pihak pendakwaan yang meneliti kertas tersebut juga perlu dikenal pasti.
Mungkinkah Azam Baki tidak boleh disentuh memandangkan ramai ‘budak-budak’ Azam Baki dalam SPRM masih berkuasa?
SPRM perlu mendedahkan, setakat yang tidak menjejaskan siasatan:
* nombor dan skop kertas siasatan terdahulu;
* tempoh siasatan dijalankan;
* jumlah saksi yang dipanggil;
* sama ada laporan forensik PwC diperiksa;
* syor pegawai penyiasat;
* alasan kertas siasatan ditutup; dan
* sama ada bukti baharu RCI bercanggah dengan maklumat yang diterima pada 2021.
Rekod THP ketika dipengerusikan Abu Talib pula mesti diperiksa. Bekas ahli lembaga serta pegawai yang terlibat tidak boleh dibenarkan berlindung di sebalik keputusan kolektif lembaga.
Surat 2021 kini menjadi bukti kegagalan akauntabiliti
Surat Azam Baki bukan dokumen yang membersihkan THP. Selepas pendedahan RCI, ia berubah menjadi bukti bahawa isu besar tersebut pernah berada dalam pengetahuan SPRM dan kepimpinan THP—tetapi siasatan ditutup tanpa penjelasan terperinci kepada masyarakat.
Azam perlu menjawab mengapa SPRM berpuas hati dengan dapatan siasatan ketika laporan forensik PwC telah pun wujud.
Rekod pentadbiran Abu Talib pula perlu diperiksa untuk menentukan sama ada lembaga yang dipengerusikannya benar-benar berusaha mendapatkan pertanggungjawaban atau sekadar menerima surat penutupan SPRM sebagai noktah.
Rakyat tidak memerlukan satu lagi kenyataan bahawa “siasatan sedang dijalankan”. Mereka memerlukan jawapan mengenai siapa yang menilai transaksi, siapa yang meluluskan pembelian, siapa yang gagal mengesan risiko dan siapa yang memutuskan siasatan tidak perlu diteruskan.
Jika RCI kini menemukan kelemahan yang serius, SPRM mesti menjelaskan bagaimana siasatannya pada 2021 boleh berakhir dengan begitu mudah.
Pendakwaan bekas pegawai TH Plantation jika dibuat hari ini akan menunjukkan betapa Azam Baki telah sekian lama menutup siasatan terhadap THP milik Tabung Haji ini.
