Siapa Sebenarnya Pemegang Hak Tanah Sungai Cot?
MARAN: Selama lebih sedekad, pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot, Mukim Luit, Maran sering dipersembahkan kepada umum sebagai konflik antara masyarakat Orang Asli dengan Kerajaan Negeri Pahang. Namun di sebalik perdebatan itu, satu fakta penting yang jarang diketengahkan ialah siapakah sebenarnya pihak yang menerima kelulusan tanah tersebut dan atas asas perundangan apakah tuntutan itu dibuat.
Berdasarkan maklumat sedia ada pertikaian hari ini jelas bukanlah suatu kelulusan baharu, sebaliknya berpunca daripada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang Ke-32/2015 pada 4 November 2015, iaitu kira-kira 11 tahun lalu. Melalui keputusan tersebut, kerajaan negeri meluluskan permohonan tanah kepada Cabaran Lantas Sdn. Bhd.
Walaupun kerajaan negeri telah menjelaskan kronologi, kategori pemilikan dan proses permohonan tanah berkenaan, identiti syarikat yang menerima kelulusan itu tidak pernah dibincangkan secara terbuka atas sebab keselamatan pihak tertentu. Sedangkan, fakta mengenai syarikat tersebut merupakan antara elemen paling penting untuk memahami mengapa pertikaian ini menjadi begitu rumit dari sudut undang-undang.
Artikel ini hanya memaklumkan kebenaran bukan mengkritik istana. Orang Asli atau sesiapa juga yang mahu membuat tuntutan perlu tahu tanah siapa yang mereka tuntut.
Semakan terhadap rekod sejarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa ketika Cabaran Lantas Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 30 April 2015, antara pengarah syarikat ialah Y.A.M. Tengku Fahad Mua’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah serta Her Royal Highness Sultanah Kalsom. Kedudukan kerabat istana sebagai pengarah syarikat wujud ketika tempoh syarikat memperoleh kelulusan tanah daripada Kerajaan Negeri Pahang pada tahun yang sama. Ini bermakna puluhan hektar yang diluluskan kepada Cabaran Lantas Sdn. Bhd tanpa kerabat istana tidak mungkin berlaku.

Selain itu 4 lagi rakan niaga Y.A.M. Tengku Fahad Mua’adzam Shah ialah Tan Kim Hai, Tan Tiong Wang, Dato’ Lee Pei Wah dan Dato’ Gan Yeew Tian

Berdasarkan rekod Cabaran Lantas Sdn. Bhd merupakan pemilik berdaftar bagi Lot PT10157 (Lot 42531) yang mempunyai keluasan 56.66 hektar diberi pajakan negeri selama 99 tahun yang berkuat kuasa sejak 2016.
Fakta ini menjelaskan mengapa pertikaian Sungai Cot tidak boleh dilihat sebagai pertikaian tanah biasa antara sebuah syarikat swasta dengan komuniti setempat. Sebarang penyelesaian tidak boleh dibuat dengan mengabaikan hak yang lahir daripada kelulusan MMK tersebut.
Walaupun dalam rekod SSM Tengku Fahad dan Sultanah Kalsom pernah menjadi pengarah Cabaran Lantas Sdn. Bhd pada peringkat awal penubuhan syarikat ramai percaya pemilikan tanah masih di bawah pengaruh Tengku Fahad dan Sultanah Kalsom. Rekod terkini sudah pasti hanya di bawah lembaga pengarah baru. Maka sudah pasti tiada pihak yang berani mempersoalkan pemilikan kerabat raja. Maka tanah Sg Cot di dalam rekod bukanlah tanah tanpa pemilik tetapi milik syarikat dan terkait dengan Tengku Fahad Mua’adzam Shah.
Penjelasan Kerajaan Negeri
Dalam kenyataan rasmi Kerajaan Negeri Pahang menjelaskan bahawa Kampung Sungai Cot bukan sebuah penempatan Orang Asli yang berdaftar dengan JAKOA, sebaliknya dikategorikan sebagai kampung serpihan. Rekod JAKOA juga menunjukkan hanya 12 individu mengemukakan tuntutan bertulis, sebelum jumlah itu berkurangan kepada enam penuntut. Kerajaan turut menyatakan enam penuntut tersebut berasal dari kampung Orang Asli lain (orang luar) dan dakwaan bahawa kawasan berkenaan merupakan tanah adat tidak begitu tepat. Jika diberi kelulusan tahun 2015 sudah tentu bukan tanah adat
Kerajaan negeri juga memaklumkan bahawa kira-kira 12.14 hektar (30 ekar) kawasan telah diusahakan dengan tanaman getah dan kelapa sawit tanpa kebenaran yang sah mengikut rekod pentadbiran tanah. Walaupun mempertahankan kesahan keputusan MMK 2015, kerajaan tetap mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), JAKOA serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran meneliti kemungkinan penyelesaian secara rundingan termasuk bantuan yang bersesuaian kepada individu yang terlibat.

Dalam masa yang sama, komuniti Orang Asli berkaitan membuat tuntutan berpendirian bahawa mereka telah lama mendiami dan mengusahakan kawasan tersebut sebagai tanah warisan nenek moyang. Mereka berhujah bahawa hak adat tidak semestinya bergantung kepada kewujudan geran hak milik, selaras dengan beberapa prinsip yang pernah dipertimbangkan oleh mahkamah dalam kes-kes berkaitan hak adat Orang Asli termasuk isu Sungai Cot.
Apa yang jelas, isu Sungai Cot bukan sekadar naratif pengusiran atau pertikaian tanah adat. Ia melibatkan pertembungan antara tuntutan hak adat yang dikemukakan oleh sebahagian komuniti Orang Asli dengan hak yang berpunca daripada kelulusan tanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada Cabaran Lantas Sdn. Bhd. melalui keputusan MMK pada tahun 2015.
Oleh itu, sebarang perbincangan mengenai Sungai Cot akan menjadi tidak lengkap jika hanya memfokuskan kepada tuntutan komuniti tanpa menjelaskan siapakah syarikat yang menerima kelulusan tanah tersebut, bagaimana kelulusan itu dibuat serta latar belakang syarikat berkenaan ketika keputusan MMK diluluskan. Fakta-fakta ini penting kerana ia membentuk asas undang-undang yang menjadi sandaran kepada tuntutan pihak syarikat sehingga hari ini.
Tawaran tanah Tengku Ampuan Pahang
Dalam konteks itu, perkembangan semasa termasuk keprihatinan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menawarkan penempatan sementara di tanah milik baginda kepada penduduk terlibat dilihat sebagai satu usaha kemanusiaan bagi membantu meredakan kesulitan yang dihadapi komuniti berkenaan. Tawaran tersebut tidak mengubah kedudukan hak milik tanah yang sedang dipertikaikan, sebaliknya mencerminkan usaha mencari jalan penyelesaian sementara terhadap isu yang telah berlarutan sejak lebih sedekad.

Pada masa yang sama, penyelesaian jangka panjang tetap memerlukan rundingan melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk Kerajaan Negeri Pahang, JAKOA, Pejabat Tanah dan Galian, pihak syarikat serta wakil komuniti Orang Asli. Hanya melalui proses yang telus dan berasaskan fakta serta undang-undang, pertikaian yang berlarutan sejak kelulusan MMK pada tahun 2015 ini dapat diselesaikan secara adil dan menyeluruh.
Apapun, pelbagai persoalan yang terus dibangkitkan berhubung status syarikat, proses kelulusan tanah serta perkembangan isu Kampung Sungai Cot hanya dapat dijelaskan secara tuntas oleh Y.A.M. Tengku Fahad Mu’adzam Shah. Penjelasan beliau dijangka dapat membantu memperjelaskan fakta sebenar sekali gus meleraikan pelbagai persoalan dan spekulasi yang timbul berhubung perkara tersebut.
