KUALA LUMPUR: Berjaya Food Bhd mengambil keputusan menamatkan penglibatannya dalam perniagaan rangkaian bakeri Paris Baguette di Malaysia selepas melupuskan keseluruhan pegangan 50 peratus dalam Berjaya Paris Baguette Sdn. Bhd. (BPB) kepada rakan usaha samanya, Paris Baguette Singapore Pte. Ltd., pada harga nominal RM1.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, perjanjian jual beli saham dimeterai pada 29 Jun sebelum transaksi itu diselesaikan sehari kemudian, sekali gus menandakan berakhirnya pelaburan Berjaya Food dalam usaha sama yang ditubuhkan pada Julai 2022.
Pelupusan itu melibatkan 20 juta saham yang dipegang Berjaya Food dalam BPB, syarikat yang mengendalikan operasi rangkaian bakeri Paris Baguette di Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada penyelesaian transaksi, Berjaya Food turut melangsaikan liabiliti BPB berjumlah RM3.91 juta, termasuk komitmen sewa beli kepada Prime Credit Leasing Bhd, anak syarikat Berjaya Corporation Bhd, selain beberapa obligasi kewangan lain.
Syarikat menjelaskan harga jualan RM1 dibuat berdasarkan kedudukan liabiliti bersih BPB, selain mengambil kira keperluan menyelesaikan semua tanggungan sebelum urus niaga dimuktamadkan.
Sejak ditubuhkan hampir empat tahun lalu, Berjaya Food telah melaburkan RM20 juta dalam usaha sama tersebut. Namun, keseluruhan pelaburan itu telah diiktiraf sebagai rosot nilai sepenuhnya berikutan prestasi operasi yang tidak mencapai sasaran.
BPB mula beroperasi pada Januari 2023, namun perniagaan itu terus merekodkan kerugian sejak pelancarannya. Sehingga 31 Disember 2025, syarikat mencatatkan kerugian bersih tidak diaudit sebanyak RM67.09 juta dengan liabiliti bersih mencecah RM33.41 juta.
Susulan transaksi itu, BPB tidak lagi diklasifikasikan sebagai syarikat usaha sama Berjaya Food. Paris Baguette Singapore, yang sebelum ini memiliki baki 50 peratus pegangan serta bertindak sebagai pemegang francais induk jenama Paris Baguette, kini menjadi pemilik tunggal operasi tersebut di Malaysia.

Paris Baguette Singapore merupakan anak syarikat milik penuh Sangmidang Holding Co. Ltd. dari Korea Selatan yang terlibat dalam operasi restoran serta pengeluaran roti, kek dan produk konfeksi.
Berjaya Food berkata langkah pelupusan itu adalah sebahagian daripada strategi penyusunan semula portfolio perniagaannya bagi menghentikan pendedahan kepada kerugian berterusan yang ditanggung BPB.
Menurut syarikat, keputusan itu akan membolehkan sumber kewangan dan tumpuan pengurusan dialihkan kepada segmen perniagaan teras serta peluang pertumbuhan yang menawarkan pulangan lebih baik.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, pelupusan berkenaan dijangka tidak memberi kesan material terhadap keuntungan, aset bersih atau tahap penggearan Berjaya Food. Transaksi itu juga tidak melibatkan perubahan kepada modal saham terbitan mahupun pegangan pemegang saham utama, selain tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia.
