LBS Bina Group Bhd Cata Jualan Rumah RM537 Juta

LBS Bina Group Bhd (LBS) mencatatkan kejayaan cemerlang apabila kempen ‘Makan Angin Lokal Bersama LBS’ berjaya merekodkan tempahan keseluruhan bernilai RM537 juta, hasil sambutan menggalakkan daripada pembeli rumah pertama di lokasi tumpuan seperti Cybersouth, Seri Kembangan dan Puchong di Selangor, serta Molek di Johor.

Kempen yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu itu membabitkan 19 projek di seluruh negara termasuk pembangunan utama seperti KITA @ Cybersouth, D’Island Residence, Prestige Residence, Centrum Iris dan Bayu Hills, mengukuhkan kedudukan LBS sebagai pemaju pilihan rakyat di pasaran hartanah.

Sebagai penghargaan kepada pelanggan, LBS turut mengumumkan pemenang hadiah utama berupa baucar hotel eksklusif bernilai RM250,000 yang boleh ditebus di hotel bertaraf tinggi di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Pulau Pinang dan Johor.

Majlis penyampaian hadiah diadakan sempena acara ‘Raya KITA Fest’ di galeri jualan KITA @ Cybersouth dan disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Cynthia Lim.

Majlis itu turut meraikan lebih 200 tetamu termasuk rakan kongsi LBS Perks & Plusses, pemenang kempen, bakal pembeli dan ahli komuniti setempat.

“Kempen ini merupakan cara kami menzahirkan penghargaan kepada pelanggan dalam komuniti LBS. Sebagai pemaju yang berpegang teguh kepada nilai kekeluargaan dan kemasyarakatan, kami amat berbangga dapat menyuntik keceriaan perayaan kepada pelanggan yang dihargai serta seluruh warga LBS,” kata Lim pada majlis itu.

Beliau menambah, kempen itu turut selari dengan Strategi 8 x 8 Kumpulan, yang antaranya adalah memberi tumpuan kepada penyampaian pengalaman pelanggan yang lebih peribadi dan bermakna.

“Kami berharap ganjaran ini dapat menggalakkan pemilik rumah untuk meneroka keindahan warisan Malaysia, di samping menjadi tanda penghargaan atas kepercayaan dan sokongan yang telah diberikan,” katanya.

Acara itu dimeriahkan lagi dengan konsert terbuka yang menampilkan artis terkenal tanah air seperti Naim Daniel, Iman Troye dan Zarul Umbrella.

Beberapa rakan strategik seperti EON, Watsons, HWC Coffee dan Coway turut serta memeriahkan suasana menerusi pameran interaktif dan pelbagai aktiviti menarik.

Kempen ‘Makan Angin Lokal Bersama LBS’ ini adalah untuk memberi ganjaran kepada pembeli yang berjaya melengkapkan perjanjian jual beli, memperoleh kelulusan pinjaman, serta memenuhi semua terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Back To Top