KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menolak dakwaan bahawa liabiliti fiskal melebihi AS$1 bilion menjadi penghalang kepada rundingan penjualan tanah milik baginda seluas 16.6 hektar di Singapura.
Baginda sebaliknya menegaskan bersedia menjelaskan jumlah berkenaan sekiranya ia menjadi sebahagian daripada kewajipan dalam urus niaga tersebut.
“Sebagai pembayar cukai biasa, perkara ini adalah normal. Tiada komplikasi dan saya amat berbesar hati untuk menyumbang kepada kedua-dua negara. Kalau boleh, jadikan jumlahnya dua kali ganda,” titah baginda menerusi satu hantaran di platform X.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap laporan Bloomberg yang mengaitkan kelewatan rundingan bersama bakal pembeli dengan caj peningkatan nilai tanah atau land betterment charge.
Caj berkenaan lazimnya dikenakan apabila perubahan perancangan, termasuk penukaran zon atau peningkatan intensiti pembangunan, menaikkan nilai sesebuah hartanah. Oleh itu, jumlah tersebut lebih tepat dirujuk sebagai levi pembangunan dan bukan semata-mata cukai biasa.
Menurut laporan sama, Tunku Ismail telah mengemukakan permohonan untuk membangunkan tanah berkenaan sebagai kawasan kediaman kepada Urban Redevelopment Authority (URA) Singapura.
URA pada Mac lalu mencadangkan supaya zon tapak itu diubah bagi membolehkan pembangunan banglo mewah berstatus Good Class Bungalow (GCB), selain beberapa kediaman bertingkat rendah.
Sekiranya cadangan penukaran zon itu diluluskan, Ketua Pegawai Penyelidik portal hartanah Mogul.sg, Nicholas Mak menganggarkan nilai tanah berkenaan boleh mencecah antara S$3.8 bilion hingga S$4.7 bilion.
Respons Tunku Ismail itu sekali gus menunjukkan bahawa caj melebihi AS$1 bilion tersebut tidak dianggap sebagai komplikasi yang mampu menggagalkan urus niaga berkenaan.
