Jual hartanah Taikun Tan Sri Lee Kim Yew: Mahkamah Tinggi Shah Alam tolak permohonan Bank Of China

Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Bank of China (Malaysia) Bhd untuk mendapatkan perintah penyitaan ke atas sebuah hartanah kediaman utama di Seri Kembangan, Selangor, sekali gus memberi kemenangan kepada pengasas The mines dan Country Heights Holdings Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew.

Mahkamah turut memerintahkan bank tersebut membayar kos sebanyak RM5,000 kepada Lee Kim Yew.

Hartanah yang menjadi pertikaian itu terletak di Pekan Baru Seri Kembangan, Daerah Petaling, dengan keluasan kira-kira 1,659.8 meter persegi (17,865.94 kaki persegi). Kedudukannya yang strategik menjadikannya antara aset yang bernilai tinggi.

Keputusan berpihak kepada Lee Kim Yew selepas beliau berjaya menunjukkan “sebab munasabah”, yang menjadi faktor utama mahkamah menolak permohonan Bank of China.

“Keputusan ini amat penting kerana ia membuktikan tindakan Bank of China tidak wajar. Saya akan terus mencabar tindakan seumpama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Lelongan Aset dan Kebimbangan Penilaian Rendah

Sebelum ini, Bank of China telah melelong beberapa hartanah milik Lee Kim Yew pada harga yang dipersoalkan, meskipun jumlah pinjaman tertunggak dilaporkan agak kecil.

Menurut laporan sebuah akhbar Cina tahun lalu, salah satu hartanahnya di Cameron Highlands telah dilelong dengan harga lebih RM60 juta, walaupun jumlah hutang kepada bank adalah lebih rendah daripada jumlah tersebut.

Kes ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai pendekatan bank dalam merampas aset serta kemungkinan penilaian rendah terhadap hartanah yang dilelong.

“Keputusan ini menegaskan kepentingan proses wajar dan ketelusan dalam pertikaian kewangan, terutama bagi kes yang membabitkan aset bernilai tinggi,” katanya lagi.

Lee Kim Yew turut menegaskan komitmennya untuk menegakkan hak undang-undang dan memastikan institusi kewangan mematuhi prosedur perundangan yang adil dalam tindakan mereka.

Bank of China Fail Rayuan

Sementara itu, firma guaman Tetuan Adrian & Co, yang mewakili Lee Kim Yew, mengesahkan bahawa Bank of China telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Tan Sri Lee Kim Yew berjaya ketepi status Muflis

​Selain berhadapan Bank of China (Malaysia) Bhd, tahun 2023 Tan Sri Lee Kim Yew pengasas Country Heights Holdings Berhad itu telah diisytiharkan muflis berikutan keputusan timbang tara di Amerika Syarikat yang memihak kepada bekas pekerjanya, Patrick Healy, dengan jumlah tuntutan RM3 juta. Tan Sri Lee menegaskan bahawa beliau masih mampu membayar hutang dan tidak pernah memfailkan permohonan kebankrapan.

Namun beliau berjaya mengetepikan status muflis yang dikenakan ke atasnya selepas Mahkamah Tinggi membatalkan perintah kebankrapan terhadapnya.

Back To Top