
BENGALURU: Syarikat Indonesia, GoTo Gojek, hari ini menegaskan bahawa tiada perjanjian dengan mana-mana pihak mengenai sebarang transaksi yang berpotensi, selepas laporan media mendakwa bahawa Grab, syarikat berpangkalan di Singapura, sedang mengambil langkah untuk membelinya.
Laporan daripada Bloomberg News semalam mendakwa bahawa syarikat perkhidmatan pandu seru dan penghantaran yang tersenarai di Amerika Syarikat (AS), Grab, telah memulakan proses ketekunan wajar terhadap pesaingnya di Indonesia, memetik sumber yang mengetahui perkara itu.
Saham Grab meningkat 5.4 peratus dalam dagangan pra-pasaran pada semalam sebelum susut sedikit dan menutup dagangan dengan kenaikan 3.4 peratus.
Sementara itu, saham GoTo, yang mengendalikan platform pandu seru dan penghantaran makanan Gojek, meningkat 5.0 peratus pada hari sama.

Perbincangan penggabungan antara Grab, yang disokong oleh Uber, dan GoTo telah berlaku secara berselang-seli tetapi belum membuahkan hasil, terutamanya disebabkan kebimbangan mengenai persaingan sekiranya dua pemain utama di Asia Tenggara bergabung.
“Syarikat dan pihak pengurusan terus menumpukan perhatian kepada aktiviti perniagaan dan pencapaian prestasi yang baik,” kata GoTo pada Rabu.
Pada awal Februari, GoTo telah menjawab spekulasi pasaran dengan menyatakan bahawa ia tidak mempunyai sebarang rancangan tindakan korporat material untuk tempoh 12 bulan akan datang, selain daripada pelaksanaan pembelian balik saham.
Pihak Grab tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan mendapatkan kenyataan daripada Reuters.
– Reuters