Susulan pendedahan Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura, K. Shanmugam, pada 3 Mac bahawa polis sedang menyiasat sama ada pelayan daripada firma AS, Dell dan Supermicro, yang mengandungi cip berharga untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI), dihantar ke destinasi yang tidak diketahui selepas awalnya dihantar ke syarikat yang berpangkalan di Singapura dan kemudian dieksport ke Malaysia.

Berita ini menggoyangkan industri pusat data Malaysia yang sedang berkembang pesat berikutan siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Singapura turut melibatkan cip Nvidia yang didakwa dihantar secara haram ke negara ketiga, dengan Malaysia dilihat sebagai destinasi akhirnya.
Kejatuhan saham syarikat NationGate
Selepas berita ini tersebar pada tengah hari 3 Mac, harga saham pengeluar perkakasan Malaysia, NationGate, jatuh mendalam hingga had harian maksimum sebanyak 30%, menyebabkan kerugian RM1.3 bilion (S$391 juta) dalam modal pasaran.

Mengapa NationGate terkesan?
NationGate adalah syarikat yang menghasilkan pelayan bagi syarikat seperti Dell dan Supermicro untuk penghantaran kepada rakan kongsi awan Nvidia (NPC) iaitu Aperia Cloud syarikat berpengkalan Singapura.
Dalam masa sama Aperia Cloud Services Singapura pula merupakan rakan kongsi kepada sebuah syarikat rakan kongsi awan utama kepada Exsim Holdings Bhd yang membangunkan pusat data di Malaysia.
Oleh itu berita penyiasatan Aperia Cloud Service oleh pihak berkuasa Singapura turut memberi tempias kepada syarikat Malaysia.
NationGate menafikan penglibatan dengan Aperia Cloud menyebabkan pertanyaan UMA Bursa Malaysia kerana kejatuhan saham mendadak yang meragukan.
Pengasas dan pengarah urusan NationGate, Datuk Ooi Eng Leong, memaklumkan bahawa kes mahkamah tersebut berkaitan dengan Syarikat Aperia Cloud Singapura yang merupakan Rakan Kongsi Awan Nvidia (Nvidia Cloud Partner- NCP) dan tidak ada kaitan dengan NationGate.
“Kami adalah pengeluar untuk Nvidia. NCP adalah salah satu pengguna akhir; mereka bukan pelanggan kami,” jelasnya.

Pada 4 Mac, NationGate memulihkan kira-kira satu perempat daripada kerugian hari sebelumnya di bursa tempatan.
Bagaimana Exsim Holdings Berhad terkesan?
Siasatan Singapura terhadap Aperia Cloud turut beri kesan kepada Exsim Holdings Bhd. Selain kejatuhan saham NationGate saham Exsim juga mengalami kejatuhan mendadak pada 3 Mac. Terdapat sedikit pemulihan pada 5 Mac. Harga saham berada dalam lingkungan 0.36 sen hingga 0.38 Sen dalam tempoh 5 hari terakhir iaitu kejatuhan 1.32% (-0.01 MYR) .

Exsim bertindak pantas memulihkan keadaan dengan mengambil tindakan serta merta menamatkan kontraknya dengan Aperia Cloud Services untuk pembangunan Exsim Hyperscale Data Centre di Bukit Jalil dan memilih syarikat sebagai penyewa utama. Aperia Cloud Services (Singapura), sepatutnya menjadi penyewa pertama untuk Fasa 1 pembangunan pusat data Exsim.
Exsim dalam satu kenyataan media mengumumkan syarikat Jepun tersenarai Fortune 500 sebagai penyewa utama menggantikan Aperia Cloud Service dan terus menarik minat syarikat lain sebagai bakal penghuni lain di pusat datanya.
Exsim Hyperscale Data Centre dirancang untuk memenuhi keperluan pusat data besar dan tinggi kapasiti, dengan tumpuan utama kepada perkhidmatan cloud dan kecerdasan buatan (AI).


Oleh itu Aperia Cloud Services yang disiasat oleh Singapura mengenai penyeludupan cip Nvidia sudah pasti akan memberi kesan besar terhadap operasi kedua syarikat Malaysia.
Penangkapan CEO Aperia Cloud dan dua individu lain
Siasatan setakat ini telah mengakibatkan dua warga Singapura dan seorang warga China didakwa atas tuduhan penipuan pada 27 Februari lalu dengan kes dikaitkan dengan pengeluar cip, Nvidia.
Tiga lelaki tersebut adalah warga Singapura Aaron Woon Guo Jie, 41, dan Alan Wei Zhaolun, 49, serta warga China, Li Ming, 51.

Li Ming didakwa melakukan penipuan pada 2023 terhadap pembekal pelayan yang tidak dinamakan, yang dikenali dalam dokumen mahkamah sebagai “barangan” dengan menyatakan syarikat bernama Luxuriate Your Life menjadi pengguna akhir barangan tersebut.
Alan Wei Zhaolun dan Aaron Woon Guo Jie pula didakwa bekerjasama pada 2024 untuk melakukan penipuan terhadap pembekal pelayan yang sama, yang juga dirujuk dalam dokumen mahkamah sebagai “barangan”.
Kedua mereka didakwa membuat pernyataan palsu bahawa barangan tersebut tidak akan dipindahkan kepada pihak selain daripada penerima yang dibenarkan oleh pengguna akhir yang sah.
Alan Wei Zhaolun selain CEO Aperia Cloud Services dan anak syarikatnya A-Speed Infotech dan Aurica turut dikaitkan sebagai pengarah kepada beberapa firma di Singapura, termasuk Achieva Tech Allianz dan Altrics Global Services.

Serial Achieva Limited Singapura terkesan
September tahun lalu Achieva Tech Allianz anak syarikat Serial Achieva telah bekerjasama dengan syarikat A-Speed Infotech milik Alan Wei Zhaolun.
Bagaimanapun dengan pendakwaan Alan Wei Zhaolun 25 Februari lalu dengan konspirasi jenayah untuk melakukan penipuan terhadap pembekal pelayan, Serial Achieva telah menamatkan dengan serta-merta perjanjian usaha sama dengan A-Speed Infotech.
Aperia Cloud, Exsim dan NationGate
Aperia Cloud Service jelas merupakan Nvidia Cloud Partner (NCP) untuk Singapura. Di Malaysia mereka hanya mempunyai hubungan kerjasama dengan Exsim dan NationGade bukan syarikat Nvidia Cloud Partner (NCP) berdaftar dengan Syarikat Malaysia. Klik sini untuk carian NCP
Jika NationGate syarikat yang menghasilkan pelayan bagi syarikat seperti Dell dan Supermicro manakala Exsim pula menjadi penyewa pertama untuk Fasa 1 pembangunan pusat data Exsim di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Namun kedua-dua syarikat ini telah mengemukakan jawapan penafian kepada Bursa Malaysia berhubung dakwaan penglibatan syarikat Malaysia.
Namun apa yang jelas tiada syarikat Malaysia berdaftar sebagai Nvidia Cloud Partner (NCP) terlibat dengan Penyeludupan Cip Nvidia berkait dengan syarikat Singapura.
Jika Exsim Holdings Bhd telah menamatkan kontrak dengan Aperia Cloud Services, begitu juga Serial Achieva apakah Nvidia akan mengeluarkan Aperia Cloud Services sebagai Nvidia Cloud Partner (NCP) Singapura kerana telah merosakkan nama Nvidia?
Pertumbuhan Industri Pusat Data di Malaysia
Industri pusat data Malaysia telah berkembang pesat sejak 2023, dengan pengumuman pelaburan bernilai RM99 bilion, sebahagian besar daripada pelaburan tersebut melibatkan teknologi AI. Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia juga melaporkan bahawa RM149 bilion lagi sedang dalam perancangan untuk pengembangan lebih lanjut.

Tengku Zafrul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, dalam kenyataannya pada 4 Mac, berikrar bahawa tindakan yang perlu akan diambil jika dakwaan penyeludupan cip ini terbukti benar. Namun, beliau menegaskan bahawa tiada bukti bahawa syarikat pusat data besar seperti Amazon, Google, dan Microsoft yang beroperasi di Malaysia telah menggunakan cip yang tidak sah.
Tindakan Kerajaan Malaysia dan Kerjasama Antarabangsa
Datuk Seri Tengku Zafrul menambah bahawa pihak berkuasa Malaysia, termasuk polis dan Kastam, sedang menyiasat perkara ini dan berbincang dengan firma pusat data untuk memastikan bahawa pelayan yang dihantar berada di pihak yang betul. Pada 4 Mac, kementeriannya juga mengeluarkan kenyataan akhbar yang mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia sedang mengambil tindakan yang perlu untuk menentukan sama ada undang-undang negara telah dilanggar berikutan dakwaan penghantaran cip AI yang disekat oleh AS dari Singapura ke Malaysia.
Pihak kerajaan Malaysia juga berjanji untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa AS dan Singapura untuk mencari jalan penyelesaian yang berkesan terhadap isu perdagangan yang melibatkan cip ini.
Impak Global: Peranan AS dalam Kawalan Eksport
Amerika Syarikat mula meneliti potensi pemintasan kawalan eksport cip Nvidia yang maju berikutan pelancaran alat AI percuma oleh firma AI China, DeepSeek, pada Januari lalu. Pelancaran ini dikatakan telah mengurangkan kira-kira AS$1 trilion (S$1.34 trilion) daripada nilai saham teknologi AS. Ini berlaku walaupun AS telah mengenakan sekatan ketat terhadap eksport semikonduktor ke China.
Pada Januari, Reuters melaporkan bahawa penyeludupan cip AI yang dianjurkan ke China telah dikesan keluar dari negara-negara termasuk Malaysia, Singapura, dan Emiriah Arab Bersatu. Penggubal undang-undang di AS juga telah menggesa supaya Singapura dikenakan syarat pelesenan yang lebih ketat jika negara tersebut tidak bertindak untuk membanteras penghantaran cip ke China.