
KUALA LUMPUR: Digital Nasional Bhd (DNB) dan Ericsson memperkukuh kerjasama strategik bagi mempercepat transformasi digital Malaysia melalui teknologi 5G dan ‘5G-Advanced’.
Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini, kedua-dua pihak komited menyokong aspirasi Malaysia menjadi peneraju digital global, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi merentas pelbagai industri.
Dalam kenyataan bersama, DNB dan Ericsson berkata, kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada perluasan liputan 5G serta pembangunan ekosistem digital yang lebih mantap bagi memperkukuh infrastruktur negara.
“Perkongsian ini akan memajukan pendigitalan perusahaan, meningkatkan kesalinghubungan dan memupuk inovasi dengan membolehkan penggunaan teknologi dunia sebenar,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kerjasama ini juga akan memperluas keupayaan ‘5G-Advanced’ ke zon perindustrian dan kawasan strategik, menyokong transformasi digital dalam sektor perniagaan dan perkilangan.
DNB dan Ericsson turut merancang untuk memperkasa ekosistem rangkaian Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) global, membolehkan pembangun menyepadukan teknologi baharu dengan lebih mudah serta mempercepat inovasi dalam aplikasi digital.
“Inisiatif ini akan memperkasakan perniagaan tempatan untuk berinovasi, menyesuaikan diri dan berkembang dalam landskap digital yang pesat berubah.
“Sebagai teknologi masa depan, ‘5G-Advanced’ dijangka menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan daya saing industri, memperkukuh ekonomi digital serta memperbaiki kualiti hidup rakyat Malaysia,” tambah kenyataan itu.