SPRM sita wang tunai RM170 juta, jongkong emas RM7 juta: Ismail Sabri kini suspek kes

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta dalam sidang akhbarnya hari ini.

Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan, wang tunai ratusan jutaan ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, hari ini.

“Setakat ini jumlah yang kita nilai ialah RM177 juta membabitkan wang tunai pelbagai mata wang dan jongkong emas RM7 juta. Jongkong emas itu mengikut harga semasa bernilai RM424,000 sekilogram.

“Terdapat pelbagai barangan kemas yang juga ditemui dalam siasatan itu yang belum sempat dinilai pegawai penyiasat kerana mereka masih perlu melakukan tugasan lain seperti mengambil keterangan dan memeriksa dokumen,” katanya.

Beliau berkata, SPRM juga mengesan dana yang berkemungkinan disembunyikan termasuklah di luar negara.

Ismail Sabri kini suspek bukan saksi

Susulan penahanan pegawai dan sitaan RM170 juta itu KP SPRM mengesahkan Ismail Sabri Yaakob kini bukan lagi dianggap saksi tetapi suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram.

“Dalam hal ini saya boleh katakan beliau adalah suspek kes ini, kerana beliau sudah diminta memperincikan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM (pengisytiharan harta).

“(Yang) kedua apabila penemuan wang ini dan beliau antara yang dikaitkan, maka kita perlu mendapatkan penjelasan daripadanya mengenai penemuan wang itu,” katanya.

Ismail Sabri akan dipanggil semula oleh SPRM Rabu ini untuk diambil keterangan lanjut.

“Beliau sudah dipanggil pada 11 Februari lalu dan diambil keterangan oleh pegawai penyiasat selama beberapa jam, iaitu antara empat ke lima jam.

“Sehari sebelum itu, beliau sudah menyerahkan pengisytiharan harta,” katanya.

Back To Top