Unitrade Industries Bhd syarikat taikun besi Sarawak Sim Keng Chor mengumumkan, anak syarikatnya, Intergreen Metal Sdn Bhd, memperoleh pegangan kawalan dalam pakar kitar semula logam, Kien San Metal Sdn Bhd (KMSB) dengan nilai RM42 juta.
Intergreen menandatangani perjanjian jual beli saham dengan pemegang saham tunggal KMSB, Hong Ching Chung untuk mengambil 51% pegangan dalam KMSB.
Pembelian itu memberikan Unitrade pegangan efektif sebanyak 26.01% dalam KMSB apabila transaksi selesai pada suku kedua tahun ini.
Unitrade berkata, ditubuhkan pada tahun 1993, KMSB mengendalikan lapan tapak yang terletak di Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Kota Kinabalu.
“Pembelian ini akan dibiayai menggunakan dana dalaman Unitrade dan suntikan modal berkadar daripada pemegang saham minoriti Intergreen.
“Perjanjian disertakan dengan jaminan keuntungan, di mana KMSB dijangka mencatatkan jumlah keuntungan selepas cukai sebanyak RM30 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2026, 2027 dan 2028,” jelas Unitrade dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan Unitrade, Nomis Sim Siang Leng berkata, kehadiran kukuh KMSB di Sabah dan Sarawak melengkapkan operasi sedia ada Intergreen di Semenanjung Malaysia.
Katanya, dengan menggabungkan kekuatan mereka, Unitrade akan mengukuhkan kedudukan di peringkat nasional dalam industri kitar semula logam.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong pengembangan pasaran, tetapi juga memperkukuh peranan kami dalam rantaian nilai hulu.
“Logam ferus boleh kitar semula adalah bahan mentah dalam pengeluaran keluli. Sehubungan itu, pemerolehan ini sangat sesuai dengan perniagaan teras pengedaran borong bahan binaan kami, terutamanya produk berasaskan keluli,” jelasnya.
Tambah Siang Leng, kerjasama berkenaan membolehkan syarikat membekalkan sisa logam dan membeli produk keluli daripada pengeluar produk keluli.