Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung pelaburan beberapa entiti kerajaan dalam syarikat pengendali platform e-dagang, FashionValet.
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata kertas siasatan kemudian diserahkan kepada pengarah bahagian perundangan dan pendakwaan agensi antirasuah itu untuk kajian dan pertimbangan.
“Keputusan berhubung siasatan ini akan diperoleh dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Pada 8 Nov, Azam berkata siasatan berkait kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.
Katanya, ini kerana kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta itu turut melibatkan beberapa keputusan korporat.
Sehari sebelum itu, Azam berkata, ada beberapa transaksi akaun mencurigakan dikesan berlaku sejak 2018 hingga tahun lalu, selain pihaknya percaya sebahagian pelaburan diterima telah disalah guna.
Pengasas FashionValet, Vivy Yusof dan suaminya, Fadzarudin Shah Anuar antara disiasat.
Pada 6 Nov, SPRM menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Agensi antirasuah itu turut membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas terbabit.
Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat 28 Okt lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners, pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.