Belanja operasi meningkat, Berjaya Land rugi RM90.19 juta

KUALA LUMPUR: Prestasi kewangan Berjaya Land Bhd bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 merosot selepas mencatat kerugian RM90.19 juta berbanding keuntungan bersih RM147.29 juta pada tahun kewangan 2023 berikutan perbelanjaan operasi meningkat.

Bagaimanapun, perolehan menokok kepada RM7.6 bilion berbanding RM7.26 bilion pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan perolehan disumbangkan terutamanya daripada kadar purata bilik yang lebih tinggi dalam segmen perniagaan hotel, sumbangan perolehan setahun penuh daripada Iceland Parliament Hotel yang mula beroperasi pada Disember 2022 dan perolehan yang meningkat daripada aktiviti pembinaan.

Bagi suku keempat, Berjaya Land mencatat kerugian bersih sebanyak RM79.9 juta berbanding keuntungan bersih RM51.90 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Perolehan naik kepada RM1.95 bilion daripada RM1.944 bilion sebelumnya.

Mengenai prospek, katanya prestasi segmen perniagaan domestik dijangka semakin baik, dipacu oleh perbelanjaan kukuh pengguna dan pemulihan aktiviti pelancongan.

“Kalangan pengarah yakin namun berhati-hati bahawa prestasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 adalah memuaskan,” katanya.

Back To Top