Kes Bloomberg dan dakwaan ugutan Albert Tei: Dua kertas siasatan babit Azam Baki dirujuk kepada AGC

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merujuk dua kertas siasatan yang membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk pertimbangan dan arahan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihak polis telah mengambil keterangan Azam hari ini di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan terhadap dua kes berasingan yang sedang disiasat.

Menurut beliau, siasatan pertama berkaitan artikel yang diterbitkan oleh Bloomberg yang mengandungi dakwaan mengenai pemilikan 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad, manakala siasatan kedua melibatkan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah terhadap seorang ahli perniagaan, Albert Tei.

“Rakaman percakapan telah selesai diambil dan kedua-dua kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes berkaitan Bloomberg tercetus selepas laporan media antarabangsa itu mendakwa Azam mempunyai pegangan saham dalam Velocity Capital Partner Berhad berdasarkan dokumen yang difailkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Susulan laporan tersebut, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan dibuka berhubung dakwaan kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.

Dalam perkembangan berasingan, Azam turut dirakam percakapan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah yang dikemukakan oleh ahli perniagaan Albert Tei. Pada 13 Mei lalu, Albert mendakwa beliau menerima ugutan melalui seorang peguam, namun Azam menafikan dakwaan tersebut.

PDRM menegaskan bahawa orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan dan memberi jaminan bahawa semua kes akan dikendalikan secara telus serta mengikut lunas undang-undang.

Back To Top