Keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengklasifikasikan siasatan terhadap Pengerusi IJM Corporation Berhad, Tan Sri Krishnan Tan sebagai “No Further Action” (NFA) berkaitan tawaran pengambilalihan sukarela Sunway Berhad kini mencetuskan persoalan besar dalam kalangan pemerhati korporat dan pasaran modal negara.
Ramai melihat tindakan tersebut bukan sekadar penutupan satu fail siasatan biasa, sebaliknya dianggap sebagai petunjuk bahawa rangkaian pegawai yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki masih mempunyai pengaruh besar dalam menentukan hala tuju siasatan berprofil tinggi.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin budak Azam Baki sebelum ini dilaporkan mengetuai siasatan berskala besar terhadap Pengerusi IJM Corporation Berhad, Tan Sri Krishnan Tan. Siasatan tersebut didakwa melibatkan penelitian terhadap unsur pengubahan wang haram, rangkaian transaksi kewangan kompleks serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai sehingga RM2.5 bilion.
Pada Februari lalu, SPRM menyerbu pejabat IJM Corporation, kediaman Tan Sri Krishnan Tan dan beberapa lokasi lain termasuk pejabat Newfields Group yang dikaitkan dengan proksi pelaburan Seow Lun Hoo @ Seow Wah Chong.
Operasi tersebut turut menyaksikan pembekuan kira-kira 70 akaun bank melibatkan individu dan syarikat berkaitan dengan nilai sekitar RM30.6 juta. Walaupun Tan Sri Krishnan Tan ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, beliau bagaimanapun tidak direman dan dilepaskan selepas kira-kira 24 jam atas alasan masalah Kesihatan.
Apakah kes pengubahan wang haram RM2.5bilion juga juga bakal NFA selepas ini?
Kenyataan rasmi terbaru SPRM hanya menyebut bahawa siasatan yang diklasifikasikan sebagai NFA adalah berkaitan “the investigation relating to the voluntary take-over offer by Sunway Berhad”. Ini bermaksud secara teknikal, hanya siasatan berkaitan takeover Sunway–IJM ditutup dan bukannya keseluruhan siasatan lain.
Kenyataan rasmi SPRM tidak menyebut bahawa semua siasatan lain terhadap Tan Sri Krishnan Tan telah ditutup sepenuhnya. Ia juga tidak menyatakan bahawa siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) telah dihentikan, tiada unsur pengubahan wang haram ditemui atau Krishnan Tan telah dibersihkan daripada semua dakwaan lain yang sebelum ini dikaitkan dengan transaksi kewangan mencurigakan dan pemilikan aset luar negara. Sebaliknya, kenyataan itu hanya merujuk secara spesifik kepada siasatan berkaitan tawaran pengambilalihan sukarela Sunway Berhad terhadap IJM Corporation Berhad.
Malah sebelum ini, siasatan dikatakan turut melibatkan kerjasama agensi luar termasuk United Kingdom Serious Fraud Office (SFO), selain AMLA PDRM yang dilaporkan turut menjalankan siasatan berkaitan transaksi kewangan mencurigakan melibatkan beberapa entiti korporat dan akaun luar negara.

Zamri cuba selamatkan Krishnan Tan?
Persoalan kini mula tertumpu kepada sama ada perkembangan terbaru ini merupakan satu bentuk usaha Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin untuk “menyelamatkan” Tan Sri Krishnan Tan daripada tekanan siasatan yang lebih besar, khususnya melibatkan dakwaan pengubahan wang haram dan transaksi kewangan mencurigakan.
Apa sebenarnya arahan Azam Baki? Lebih menimbulkan tanda tanya apabila keputusan NFA tersebut diumumkan hanya beberapa hari selepas tamatnya tempoh perkhidmatan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 12 Mei lalu.

SPRM, LHDN dan AMLA PDRM tidak wajar menutup sepenuhnya siasatan terhadap Tan Sri Krishnan Tan susulan pendedahan berkaitan akaun bank mencurigakan yang dikaitkan dengan beliau serta proksinya, Seow Lun Hoo @ Seow Wah Chong.
Walaupun terdapat kemungkinan cukai telah dibayar kepada LHDN selepas transaksi dan akaun tersebut didedahkan, perkara itu tidak seharusnya dianggap sebagai alasan untuk menghentikan siasatan berkaitan aliran dana mencurigakan, pemindahan kewangan kompleks atau kemungkinan pelanggaran di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA). Pembayaran cukai tidak secara automatik menghapuskan elemen jenayah sekiranya wujud transaksi yang menimbulkan syak munasabah atau mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Apakah Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ada perundingan dengan Datuk Mathan a/l Kaliappan Pengarah Cawangan Pematuhan Strategik di Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pegawai yang terkenal ‘kawtim’ di belakang tabir dengan taikun-taikun dan taukeh judi bagi pelepasan, pengurangan denda bayaran atau mengelak kes didakwa di mahkamah?
Sebelum ini dilaporkan Syarikat-syarikat mengadu Mathan Kaliappan meminta rasuah jumlah yang besar sekiranya dilepas atau denda dikurangkan.

Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin “Mamu” perlu menjelaskan bahawa keputusan NFA terhadap siasatan takeover Sunway yang dikaitkan dengan Tan Sri Jeffrey Cheah tidak seharusnya dilihat sebagai penutupan keseluruhan siasatan berkaitan dakwaan pengubahan wang haram.
SPRM wajar tampil memberikan penjelasan terperinci bagi mengelakkan timbul persepsi bahawa keputusan tersebut dibuat atas arahan atau campur tangan kepimpinan baharu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Abdul Halim Aman. Lantaran itu Abdul Halim Aman digesa merombak SPRM mengelakkan pegawai lebih sudu dari kuah!

