IJM Corporation Bhd Giat Bida Tender Pusat Data dan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Segmen 2

IJM Corporation Bhd (IJM Corp) mengemukakan tiga tender untuk projek pusat data dan dua lagi bagi bangunan perindustrian ketika kumpulan itu mempergiat bidaan kerja-kerja baharu untuk mengukuhkan kedudukan dalam sektor pembinaan serta perindustrian negara.

Projek yang dibida itu adalah sebahagian strategi IJM Corp untuk memanfaatkan permintaan tinggi terhadap infrastruktur pusat data dan bangunan perindustrian, dengan 44 peratus daripada kontrak dalam tangan sedia ada kumpulan datang daripada kerja-kerja pusat data.

Selain tender pusat data dan bangunan perindustrian, IJM Corp turut membida projek perumahan penjawat awam di Nusantara, Indonesia bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala keputusan tender dijangka diketahui seawal tahun kewangan 2027.

IJM Corp juga berhasrat menyertai projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Segmen 2 yang dianggarkan bernilai RM4 bilion, dengan keputusan dijangka diumumkan pada separuh kedua 2026.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata aktiviti bidaaan intensif itu mencerminkan momentum strategik kumpulan untuk mengembangkan portfolio pembinaannya, terutama dalam segmen pusat data yang kini menjadi pemacu utama nilai.

“Sumbangan kerja pusat data kini mewakili 44 peratus daripada buku pesanan IJM Corp dan sebarang kejayaan dalam tender besar dijangka bertindak sebagai pemangkin kenaikan penilaian kumpulan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Adam berkata, prospek IJM Corp kekal menarik berikutan projek dalam tangan yang besar, serta peluang kerja baharu yang berpotensi menyumbang secara signifikan kepada unjuran prestasi kumpulan pada separuh kedua tahun kewangan 2026.

Dari segi prestasi kewangan, IJM Corp mencatatkan perolehan teras RM213 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2026, susut lapan peratus tahun ke tahun dan hanya mencapai 41 peratus daripada unjuran penuh RHB serta 40 peratus anggaran konsensus.

Penurunan itu dipengaruhi prestasi lebih lemah dalam segmen hartanah yang menyaksikan keuntungan sebelum cukai (PBT) susut 77 peratus pada suku kedua, dengan margin keuntungan susut kepada 2.2 peratus berbanding 7.5 peratus pada suku kedua tahun kewangan 2025.

Namun, RHB Investment Bank menjangka segmen hartanah akan disokong jualan belum dibil sebanyak RM1.6 bilion dan pelancaran projek dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM849 juta pada baki tahun kewangan 2026.

Segmen pembinaan mencatatkan prestasi lebih kukuh dengan PBT sebanyak RM37.3 juta, meningkat 30 peratus tahun ke tahun berikutan aktiviti pembinaan lebih giat seiring peningkatan projek dalam tangan.

Namun, margin PBT segmen pembinaan sedikit mendatar kepada 4.5 peratus berbanding 4.6 peratus setahun lalu, mencerminkan kos operasi yang berterusan tinggi.

Bagi segmen perindustrian, PBT meningkat 9.5 peratus tahun ke tahun berikutan penghantaran cerucuk dan konkrit sedia bancuh lebih tinggi pada suku berkenaan.

Segmen tol mencatat pemulihan ketara dengan PBT sebanyak RM9.6 jut berbanding kerugian RM1.1 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong sumbangan laluan bertol tempatan dan unit di Argentina.

Sementara itu, PBT segmen pelabuhan susut sebanyak 47 peratus tahun ke tahun ekoran pemprosesan kargo lebih perlahan semasa kerja penyelenggaraan besar oleh pelanggan.

Pada masa sama, buku pesanan tempatan IJM Corp kekal kukuh mencecah RM8.4 bilion, dengan tambahan RM5.1 bilion daripada JRL Group, menunjukkan kedudukan pendapatan masa depan yang stabil.

Back To Top