Petros vs Petronas, Kini Berlanjutan Di Mahkamah

Pertikaian undang-undang antara PETRONAS dan Petroleum Sarawak (PETROS) mengenai hak pengagihan gas di Sarawak kini berlanjutan di mahkamah, sekali gus meletakkan isu hak negeri dan perundangan persekutuan dalam perhatian.

Perkembangan terbaharu menyaksikan PETRONAS mencabar kedudukan PETROS sebagai pengagregat gas tunggal di negeri itu, satu langkah yang dilihat sebagai usaha untuk mempertahankan hak tradisinya di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

Menurut laporan CGS International, pertikaian itu kembali ke Mahkamah Tinggi Kuching selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian melalui rundingan yang diadakan selama sebulan sebelum ini.

Pada 30 September lalu, PETRONAS mengemukakan hujah di mahkamah bahawa ia tidak memerlukan lesen di bawah Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016 Sarawak untuk membekalkan gas di negeri itu.

PETRONAS menegaskan bahawa PDA 1974, sebagai sebuah undang-undang persekutuan, mempunyai keutamaan mengatasi undang-undang negeri seperti DGO, selaras dengan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan.

Dengan hujah itu, PETRONAS berpendapat bahawa pelantikan PETROS sebagai pengagregat gas tunggal di Sarawak adalah ‘ultra vires’ atau melangkaui bidang kuasa PDA, yang memberikan Petronas pemilikan tunggal ke atas semua sumber hidrokarbon di darat dan luar pesisir di seluruh Malaysia.

Pertikaian ini pada awalnya berpunca daripada dakwaan PETRONAS bahawa PETROS berhutang sebanyak RM26.3 juta di bawah Perjanjian Pembekalan Gas Sarawak (SGSA) setakat 8 November 2024.

PETROS kemudiannya memfailkan saman pada Oktober 2024 untuk menghalang PETRONAS daripada menuntut jaminan bank atas alasan PETRONAS tidak mempunyai lesen untuk menjual gas di Sarawak di bawah DGO 2016.

Penganalisis CGS International, Raymond Yap, berkata kes ini dijangka akan dibawa sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan memandangkan kepentingannya yang amat besar.

“Walaupun undang-undang dilihat memihak kepada PETRONAS, landskap politik semasa mungkin memerlukan aspirasi Sarawak untuk dipertimbangkan, membuka kemungkinan PETROS akan mencapai matlamatnya,” katanya.

Ketidaktentuan akibat pertikaian undang-undang ini, ditambah dengan harga minyak yang lebih lemah, dijangka menyebabkan perbelanjaan modal (capex) PETRONAS kekal dibuat secara berhemah pada tahun-tahun akan datang.

Walaupun berdepan cabaran, CGS International mengekalkan saranan ‘wajaran tinggi’ ke atas sektor minyak dan gas, dengan Dialog Group Bhd menjadi pilihan utama kerana dijangka memperoleh beberapa kontrak terminal tangki utama tidak lama lagi.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuching dijadualkan bersambung semula pada 17 November 2025.

Back To Top