Ancom Nylex Bhd Beli 60% Saham Syarikat Ambulans

Lepas berjaya “masuk dalam radar” syarikat tersenarai Ancom Nylex Bhd, H2H Medicare Group Sdn Bhd kini ligat merancang untuk mengembangkan sayap lebih jauh.

Syarikat yang dikenali sebagai peneraju penyelesaian ambulans satu henti pertama di Malaysia itu dibeli 60 peratus sahamnya oleh Ancom Nylex pada 1 Jun lalu, manakala pengasasnya, Koay Hean Wei, masih pegang baki 40 peratus.

Koay, yang juga Pengarah Urusan H2H, yakin kerjasama ini mampu bawa H2H ke tahap lebih tinggi.

“Ancom Nylex ada kekuatan dari segi kewangan dan rangkaian pasaran, H2H pula ada kepakaran serta produk khusus. Gabungan ini memang kena pada masanya,” katanya.

Menurut Koay, syarikat itu catat pendapatan sekitar RM35 juta setahun, dengan sasaran pertumbuhan antara 15 hingga 20 peratus setiap tahun.

Dari “Hospital to Home” ke “Home to Hospital”

Ditubuhkan pada 2016, H2H pada mulanya hanya bekalkan peralatan penjagaan kesihatan di rumah untuk pesakit yang baru keluar hospital.

Tapi bila tiba pandemik COVID-19, permintaan untuk ventilator dan oksigen melonjak mendadak. Selepas itu, pasaran jadi terlebih bekalan dan jualan pun merudum.

Tak mahu terus bergantung pada pasaran itu, Koay mengubah haluan. Pada 2022, lahirlah konsep baharu — penyelesaian ambulans lengkap, dari reka bentuk, pemasangan peralatan, latihan, hingga servis selepas jualan.

“Sekarang pelanggan tak perlu pening kepala cari banyak pembekal. Semua ada dengan H2H,” katanya.

Ambulans keluaran syarikat itu juga ikut standard keselamatan Kesatuan Eropah (EU) EN 1789, setanding dengan pasaran antarabangsa.

Bukan Setakat Ambulans

Selain jadi pengeluar ambulans, H2H juga:

  • pengedar terbesar mesin kejutan jantung automatik (AED) di Malaysia,
  • pembekal tunggal produk perubatan dari syarikat terkenal seperti Weinmann (Jerman), Medirol (Republik Czech) dan Zoll Medical Corporation (AS),
  • serta penyedia latihan Bantuan Asas Pernafasan (BLS) termasuk CPR.

Kini, perniagaan ambulans jadi tunjang utama H2H, manakala segmen penjagaan kesihatan di rumah hanya sumbang kira-kira 20 peratus daripada operasi.

Kilang Baharu di Klang

H2H kini beroperasi dari kilang pembuatan ambulans di Permatang Tinggi, Pulau Pinang. Tapi ada perancangan lebih besar — membina kilang baharu di Klang melalui kerjasama dengan pengeluar ambulans Thailand, Promedic.

Malah, Koay juga merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran sah bagi peralatan perubatan antarabangsa, sebelum mengeksport ke negara jiran di Asia Tenggara.

Usahawan Muda Berwawasan

Kejayaan Koay tidak hanya mendapat perhatian industri, malah beliau baru saja menerima Anugerah Usahawan Muda Super Model ACCCIM 2025 kategori ASEAN.

Pesannya kepada anak muda lain:
“Jangan takut gagal. Cuba dulu. Kadang-kadang apa yang kita fikir tak menjadi, akhirnya itulah yang bawa kejayaan.”

Back To Top