Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM40.51 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025, melonjak lebih tiga kali ganda berbanding RM13.25 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Lonjakan keuntungan itu dipacu margin penapisan yang lebih baik hasil pengoptimuman berterusan operasi kilang Port Dickson, sekali gus meningkatkan penggunaan loji dan pengeluaran produk ditapis bernilai tinggi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Petron berkata jumlah jualan kekal stabil pada 9.0 juta tong. Pertumbuhan 9.0 peratus jualan komersial membantu mengimbangi penurunan sementara dalam jualan diesel runcit, berikutan pembetulan permintaan selepas pelaksanaan subsidi disasarkan pada Jun 2024.
Jualan diesel, bahan api jet dan gas petroleum cecair dalam sektor komersial terus berkembang sejajar dengan pengeluaran lebih tinggi daripada kilang penapisan.
Bagaimanapun, pendapatan syarikat susut kepada RM3.26 bilion daripada RM4.30 bilion pada tempoh sama tahun lalu, dipengaruhi harga minyak global yang merosot.
Menurut Petron, pasaran kekal mencabar apabila harga minyak ditekan oleh ketegangan tarif global dan pengumuman peningkatan output OPEC+.

Harga minyak mentah Dated Brent yang bermula sekitar AS$79 setong pada Januari 2025 merosot ke paras terendah AS$64 pada Mei, sebelum pulih kepada AS$71 pada Jun berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat. Secara purata, harga pada suku kedua adalah AS\$68 setong, 20 peratus lebih rendah berbanding AS$85 pada tempoh sama tahun lalu.
Bagi enam bulan pertama tahun ini, Petron merekodkan keuntungan bersih RM121.54 juta, lebih tinggi berbanding RM82.95 juta pada tahun lalu. Hasil pula menurun kepada RM6.93 bilion daripada RM8.94 bilion akibat harga minyak dan volum jualan lebih rendah.
Melangkah ke hadapan, syarikat berkata ia kekal utuh dengan strategi pertumbuhan mampan melalui peluasan rangkaian runcit, selain meneruskan program pengoptimuman kemudahan penapisan dan terminal.