Pada tahun 2022, Wilmar bersama dua syarikat lain – Musim Mas dan Permata Hijau – disiasat kerana didakwa merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan kelulusan eksport minyak sawit mentah (CPO), tanpa memenuhi kuota pasaran domestik seperti yang ditetapkan kerajaan bagi menstabilkan harga minyak masak.
Walaupun Mahkamah Indonesia membebaskan syarikat-syarikat ini pada tahun 2025, siasatan lanjut oleh pihak berkuasa mendedahkan bahawa empat hakim dan dua peguam telah menerima rasuah berjumlah kira-kira Rp60 bilion (±USD 3.57 juta) bagi mempengaruhi keputusan tersebut.
Seorang pegawai Wilmar turut ditahan pada April 2025 kerana dipercayai terlibat dalam kes ini. Pada 17 Jun 2025, pihak berkuasa Indonesia menyita dana bernilai Rp11.8 trilion (±USD 725 juta atau RM3.6 billion) daripada Wilmar, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memulihkan kerugian negara akibat eksport tidak sah itu. Wilmar dilaporkan telah memulangkan dana tersebut.

Wilmar International diasaskan melalui gabungan aset milik keluarga Kuok, dan Kuok Khoon Hong adalah figura utama yang menyatukan aset tersebut ke dalam Wilmar sejak 2007. Kuok Khoon Hong yang berpangkalan di Singapura memang dikenali sebagai “Raja Kelapa Sawit”, merupakan anak saudara kepada Tan Sri Robert Kuok, orang paling kaya di Malaysia.
Pengarah Pendakwaan Unit Jenayah Khas AGO Sutikno berkata, syarikat terbabit termasuk Multimas Nabati Asahan, Multi Nabati Sulawesi, Sinar Alam Permai, Wilmar Bioenergi Indonesia dan Wilmar Nabati Indonesia, dengan semuanya sudah menyerahkan wang rampasan sebagai ganti rugi terhadap kerugian kewangan negara.

“Kes ini berkaitan dengan penyalahgunaan permit eksport semasa larangan eksport sawit pada 2022, ketika Indonesia mengalami krisis minyak masak.
“Syarikat ini dituduh mengaut untung secara haram sepanjang tempoh itu,” katanya dalam sidang media ibu pejabat Jenayah Khas AGO di sini, semalam.
Wang tunai 2 trilion rupiah (kira-kira RM606 juta) dipamerkan di atas meja besar, dikelilingi lapan pegawai pendakwa, dalam bentuk ikatan wang tunai 100,000 rupiah (kira-kira RM26) yang hampir memenuhi ruang.
Walaupun nilai rampasan mencecah 11.88 trilion rupiah , Mahkamah Korupsi Jakarta pada Mac lalu membebaskan lima syarikat terbabit daripada sebarang pertuduhan jenayah sehingga mencetuskan kontroversi besar.
AGO kini memfailkan rayuan ke Mahkamah Agung Indonesia. Audit bersama Agensi Audit Kewangan dan Pembangunan (BPKP) serta Universiti Gadjah Mada mendapati, kerugian negara mencecah angka sama membabitkan kerosakan langsung dan impak ekonomi lebih luas.

Semua wang rampasan kini disimpan dalam akaun escrow di Bank Mandiri dan dikawal selia Unit Jenayah Khas AGO.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga hakim iaitu Agam Syarif Baharuddin, Ali Muhtarom dan Djuyamto kini ditahan selepas disyaki menerima rasuah daripada peguam syarikat, Ariyanto, bagi menggugurkan sabitan ke atas syarikat korporat terbabit termasuk Wilmar, Permata Hijau dan Musim Mas Group.
Dalam penghakiman pada 19 Mac lalu, Mahkamah Rasuah menyatakan, syarikat terbabit bersalah mengeksport sawit tanpa permit tetapi memutuskan perbuatan itu bukan jenayah.
Sebelum itu, pendakwa raya menuntut ganti rugi 11.8 trilion rupiah (kira-kira RM3.58 bilion) daripada Wilmar, 4.8 trilion rupiah (kira-kira RM1.45 bilion) dari Musim Mas dan 937 bilion rupiah (kira-kira RM284 juta) daripada Permata Hijau.
Ia menjadikan kerugian keseluruhan yang ditanggung negara, dianggarkan mencecah 18.3 trilion rupiah (kira-kira RM5.55 bilion), termasuk subsidi minyak masak yang terpaksa ditanggung kerajaan semasa krisis 2022.