Astro Terus Catat Kerugian, Penurunan Hasil 20% Setiap Tahun

Penurunan hasil pengiklanan dan langganan televisyen (TV) terus memberi kesan kepada prestasi kewangan Astro Malaysia Holdings Bhd.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) dalam satu nota penyelidikan berkata, sentimen perbelanjaan pengiklanan (Adex) kekal lemah berikutan tekanan inflasi yang berterusan.

Katanya, berdasarkan segmen pelanggan, perbelanjaan iklan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta agensi kerajaan menunjukkan peningkatan.

“Bagaimanapun, syarikat multinasional (MNC) mencatatkan penurunan ketara dalam Adex kerana peralihan bajet pengiklanan ke pasaran luar negara dan kelemahan sentimen pengguna tempatan.

“Dalam masa sama, Astro turut berdepan cabaran daripada penyusutan hasil langganan TV, meskipun kadar pemberhentian langganan TV berbayar menunjukkan penurunan.

“Perkara itu disumbangkan oleh pengenalan pakej Astro One yang lebih mampu milik, ditawarkan bersama perkhidmatan jalur lebar gentian optik (fibre),” katanya.

Bank pelaburan itu menambah, langkah berkenaan membantu mengekalkan sebahagian pelanggan Astro, namun kesannya kepada purata hasil setiap pengguna (ARPU) masih negatif.

Katanya, disebabkan ARPU yang lebih rendah, hasil langganan TV Astro menyusut tiga peratus secara suku ke suku (QoQ), menambah tekanan kepada prestasi keseluruhan syarikat.

Maybank IB turut menegaskan bahawa hasil langganan TV adalah komponen paling penting dalam pendapatan Astro, menyumbang lebih 80 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan.

Keuntungan bersih Astro bagi suku pertama berakhir 30 April 2025 merosot kepada RM13.48 juta berbanding RM17.01 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Pendapatan jatuh daripada RM772.53 kepada RM703.09 juta, demikian menurut pengendali stesen televisyen berbayar itu dalam makluman kepada Malaysia.

“Kemerosotan ini terutamanya dipacu oleh penurunan enam peratus hasil langganan televisyen dan 13 peratus pendapatan pengiklanan,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Astro berkata hasil Adex bagi suku pertama tahun kewangan 2026 mencerminkan sentimen berhati-hati dalam pasaran secara keseluruhan apabila perang tarif, isu geopolitik dan penurunan perbelanjaan pengguna terus menjadi faktor kebimbangan.

Ia berkata, pendapatan menurun sebanyak 20 peratus tahun ke tahun, terutamanya disebabkan oleh pengurangan perbelanjaan oleh syarikat multinasional, atau pemindahan perbelanjaan ke luar Malaysia, berikutan ketidaktentuan ekonomi semasa.

Back To Top