
Siasatan terperinci sedang dijalankan berhubung kes penculikan Datin Seri Pamela Ling pada 9 April, termasuk kemungkinan beliau telah melarikan diri ke luar negara.
Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed, berkata siasatan lanjut kes berkenaan masih diteruskan.
Beliau berkata, polis akan merakam keterangan anak-anak Pamela serta saksi berkaitan di Kedutaan Malaysia di Singapura dalam masa terdekat.

“INTERPOL sedang menguruskan proses berkenaan. Setakat ini, 27 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, siasatan terperinci turut merangkumi kemungkinan Pamela telah melarikan diri ke luar negara.
Aidi berkata siasatan setakat ini tidak menemui suspek lain yang dipercayai terlibat, selain daripada lapan individu yang telah dikenal pasti sebelum ini.
Mengenai sama ada pihak polis perlu memantau pintu sempadan bagi mengelakkan percubaan membawa Pamela keluar dari negara ini, beliau menjelaskan pergerakan Pamela telah pun dihadkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan terhadapnya dijalankan.
Jika mengikut kronologi, selepas hampir sebulan barulah keluarga Pamela bersuara meminta pengesahan di mana sebenarnya Pamela berada.

Lima hari lalu, dilaporkan bahawa keterangan anak-anak Pamela, yang masih hilang, akan dirakam di Kedutaan Malaysia di Singapura dengan urusan sedang diatur oleh INTERPOL.
Polis negara ini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa antarabangsa bagi melancarkan proses berkenaan.
Terdahulu, peguam Pamela telah meminta polis meningkatkan usaha bagi mengesan beliau.
Datuk N Sivananthan menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan anak guamnya yang telah hilang sejak 9 April.
Beliau berkata anak guamnya, yang sedang membantu siasatan SPRM dalam kes pengubahan wang haram, mempunyai tiga anak – dua daripadanya masih di bawah umur.
Terdapat juga laporan bahawa Pamela dan suaminya, seorang ahli perniagaan dari Sarawak yang kini dalam proses perceraian yang rumit melibatkan harta bernilai besar, sedang disiasat oleh SPRM.