Affin Group Biaya RM500 Juta Untuk Cold Storage Singapura

AFFIN Group menyediakan pembiayaan berjumlah RM500 juta kepada syarikat tujuan khas (SPV), Macrovalue Six Sdn Bhd (MV6) untuk membiayai pemerolehan kepentingan penuh dalam Cold Storage Singapore (1983) Pte Ltd daripada DFI Retail Group Management Limited.

Perjanjian yang dimeterai kedua-dua entiti itu turut membabitkan pemerolehan 89 kedai runcit di Singapura, termasuk 48 kedai Cold Storage di bawah jenama CS Fresh dan CS Gold, 41 kedai Giant, serta dua pusat pengedaran.

Usaha itu menjadi langkah strategik Macrovalue Group menerusi SPV berkenaan untuk memperkukuhkan kehadirannya dalam sektor runcit serantau.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata transaksi penting itu menyerlahkan keupayaannya untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan berstruktur dan berimpak tinggi.

Katanya, melalui pembiayaan 100 peratus yang diberikan kepada SPV strategik yang disokong oleh Macrovalue, AFFIN menyokong pemerolehan jenama runcit ikonik, sekali gus mengukuhkan keupayaannya dalam memudahkan usaha niaga rentas sempadan yang kompleks merentasi ASEAN.

“AFFIN bangga menyokong Macrovalue dalam kemasukan bersejarah ke pasaran Singapura. Ini menunjukkan komitmen kami untuk menyokong usaha transformasi yang mempercepatkan pertumbuhan serantau dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam perdagangan ASEAN.

“Transaksi ini sejajar dengan rancangan strategik AFFIN Axelerate 2028 (AX28) yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan pelanggan unggul, kepimpinan digital, dan perbankan yang bertanggungjawab,” katanya kepada media selepas majlis pemeteraian perjanjian pembiayaan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Affin Bank Bhd, Datuk Agil Natt; Pengerusi Eksekutif GCH Retail Group, Datuk Andrew Lim; dan Pengarah Urusan GCH Retail Group, Datuk Gary Yap.

Sementara itu, Lim yang juga Pengasas Macrovalue berkata sokongan strategik AFFIN turut memainkan peranan penting dalam pertumbuhan serantau kumpulan.

“AFFIN adalah rakan strategik kami sejak dari pemerolehan GCH Retail (Malaysia) pada 2023 hingga langkah baru di Singapura. Dengan sokongan kumpulan perbankan ini, kami yakin dapat membawa inovasi dan nilai kepada pelanggan di Singapura.

“Langkah ini akan mengoptimumkan rangkaian bekalan serantau, memperluas penembusan pasaran, dan meningkatkan kecekapan operasi. Dengan memanfaatkan infrastruktur pengedaran Malaysia, Macrovalue berhasrat untuk memberikan produk berkualiti tinggi dengan harga yang kompetitif kepada pengguna di Singapura.

“Sebagai tambahan, usaha ini memperkukuhkan jenama Cold Storage sebagai nama premium yang dipercayai di sektor runcit Singapura,” katanya.

Sementara itu, Macrovalue Group kini sedang giat melaksanakan pengambilalihan strategik membabitkan 89 buah kedai Cold Storage di Singapura, menerusi satu perjanjian yang disifatkan sebagai ‘urus niaga mercu tanda’.

Melalui pengambilalihan itu, kumpulan akan memiliki lebih 180 kedai di Malaysia dan Singapura.

Justeru, Lim berkata, pembiayaan berjumlah RM500 juta akan digunakan untuk pembelian serta keperluan modal kerja dan peluasan cawangan baharu.

“Sebahagian dana akan digunakan untuk pembukaan kedai. Enam cawangan baharu telahpun ditandatangani untuk dibuka di Singapura tahun ini, tertumpu kepada jenama Cold Storage.

“Di Malaysia pula, 12 cawangan baharu telah dirancang termasuk satu di Subang Jaya dan satu lagi di Pulau Pinang. Kumpulan menjangkakan peningkatan hasil jualan sebanyak 10 peratus, masing-masing di Malaysia dan Singapura hasil peluasan ini,” katanya.

Ketika ini, jumlah jualan di Malaysia mencecah RM2 bilion dan S$1 bilion (RM3.29 bilion) di Singapura, dengan sasaran gabungan hasil selepas pengambilalihan dan peluasan cawangan kira-kira RM5.6 bilion.

Lim berkata, Macrovalue sedang merancang untuk menyenaraikan saham syarikat dalam masa tiga tahun.

Back To Top