JAKARTA, 27 Feb (Reuters) – Pejabat Peguam Negara Indonesia telah menahan dua lagi eksekutif di sebuah unit syarikat tenaga milik negara, Pertamina, atas dakwaan rasuah berkaitan kualiti bahan api. Ini susulan beberapa tangkapan lain awal minggu ini dalam kes yang menurut pegawai telah menyebabkan kerugian negara sebanyak RM56 bilion.
Pendakwa raya menahan Maya Kusmaya, pengarah pemasaran, dan Edward Corne, naib presiden perdagangan di Pertamina Patra Niaga, kata Abdul Qohar, pengarah jenayah khas di Pejabat Peguam Negara, kepada pemberita lewat Rabu.

Pertamina Patra Niaga ialah unit yang bertanggungjawab terhadap jualan runcit dan import bahan api. Pertamina dan Pertamina Patra Niaga tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai penahanan terbaharu ini.
Tiga eksekutif lain di unit Pertamina telah ditahan pada hari Selasa, dituduh bersekongkol untuk membenarkan import minyak mentah dan bahan api, bukannya mendapatkan sumber dari dalam negara seperti yang dikehendaki.
Selepas tiga tangkapan awal, Pertamina menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan berharap proses perundangan berjalan lancar serta mengutamakan prinsip praduga tidak bersalah.
Abdul berkata, dua suspek yang ditahan pada hari Rabu didakwa telah meluluskan import petrol 90-oktan, dikenali sebagai Pertalite, pada harga petrol berkualiti lebih tinggi 92-oktan, iaitu Pertamax.
“Ia menyebabkan pembayaran untuk produk bahan api yang diimport dibuat pada harga tinggi yang tidak sepadan dengan kualiti sebenar,” katanya.
Kedua-dua mereka juga berdepan tuduhan meluluskan keputusan mencampurkan petrol 88-oktan, dikenali sebagai Premium, dengan Pertamax, sebelum menjualnya pada harga bahan api oktan lebih tinggi, kata Abdul.
Pertamina dalam satu kenyataan menyatakan bahawa petrol 92-oktan memenuhi piawaian dan spesifikasi yang ditetapkan oleh kementerian tenaga.
Abdul turut menjelaskan bahawa para eksekutif tersebut menggunakan kontrak spot dan bukannya kontrak hadapan ketika membuat pesanan bahan api, menyebabkan Pertamina Patra Niaga membayar harga lebih tinggi untuk tempahan mereka.
Abdul berkata kerugian negara akibat kes ini dianggarkan bernilai 193.7 trilion rupiah (RM56 bilion).