SPRM sahkan sita lebih RM150 Juta dana politik ‘Poster Boy’ di kediaman bekas SUPOL Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai melebihi RM150 juta dalam serbuan di kediaman milik Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri ke-9, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Wang tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan dana politik ‘Poster Boy’.

Menurut sumber wang berkenaan disimpan dalam beberapa beg dan peti besi di bilik kediaman tersebut. Selain wang tunai, penyiasat SPRM turut merampas dokumen penting, barang kemas, dan peranti elektronik. Turut dirampas jongkong bernilai jutaan ringgit.

Serbuan ini dilakukan hasil siasatan berterusan dan pemantauan selama beberapa bulan berhubung dakwaan salah guna kuasa serta pengubahan wang haram yang melibatkan bekas pegawai kanan berkenaan. SPRM kini sedang meneliti sumber dana tersebut, termasuk kemungkinan kaitannya dengan dana politik.

Sumber itu turut memaklumkan bahawa siasatan tertumpu kepada peranan bekas Setiausaha Politik tersebut dalam pengurusan dana yang dirampas.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan empat individu yang pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan Ismail Sabri ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri. Mereka ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram. Selain Dato’ Mohammad Anuar Bin Mohd Yunus mereka yang ditahan ialah Dato’ Syed Mohd Fazmi Bin Sayid Mohd Hafizuddin Bin Mohd Ariff dan Wan Hazirah Binti Wan Draman @Wan Razali.

Hafizuddin Bin Mohd Ariff merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang diasaskan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri sebelum ini.

Walaubagaimanapun Azam Baki tidak mendedahkan jumlah tepat wang yang dirampas, beliau mengesahkan ia melibatkan “jumlah yang besar”. Ada sumber SPRM mendedahkan nilai mencecah RM170 juta tidak termasuk jongkong.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri dilaporkan dimasukkan ke sebuah hospital di Kota Damansara selepas rebah di rumahnya pada pagi Sabtu. Menurut Setiausaha Akhbarnya, Azran Fitri Rahim, kejadian itu berpunca daripada tekanan darah tinggi, namun beliau kini dilaporkan stabil.

Back To Top