ISKANDAR PUTERI: Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City akan menjadi lokasi pertama di Malaysia menawarkan kadar cukai sifar peratus untuk ‘Pejabat Keluarga’ (Family Offices) atau firma pengurusan individu kaya, dalam usaha untuk menarik modal antarabangsa.
Menerusi Skim Pejabat Keluarga Tunggal yang diselaraskan oleh Sekuriti Suruhanjaya Malaysia (SC), inisiatif itu bertujuan menarik minat keluarga Malaysia dan serantau untuk menguruskan kekayaan mereka dari Malaysia, sekali gus merancakkan ekonomi negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata antara tarikan yang ditawarkan menerusi skim itu adalah dengan kadar cukai sifar peratus terhadap keuntungan pelaburan yang diperoleh untuk beberapa tahun.
“Ketika ini, dianggarkan terdapat 8,030 Pejabat Keluarga di seluruh dunia dan jumlah itu diunjurkan meningkat sebanyak 75 peratus kepada lebih daripada 10,720 menjelang 2030.
“Jumlah anggaran aset di bawah pengurusan Pejabat Keluarga ini dijangka meningkat kepada RM22.6 trilion pada 2030, daripada RM12.9 trilion pada masa ini.
“Oleh itu, penubuhan Pejabat Keluarga yang dijangka dimulakan pada suku pertama tahun depan ini pasti akan meluaskan asas pelabur untuk menyalurkan modal swasta ke dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Pakej Insentif Cukai Zon Kewangan Khas Forest City di Forest City, dekat sini, hari ini.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menyempurnakan majlis berkenaan.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han serta Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), Datuk Mohd Othman Yusof.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, selain lokasi ideal SFZ Forest City yang berdekatan dengan Singapura dan sifar cukai menerusi Skim Pejabat Keluarga Tunggal itu, insentif lain ditawarkan termasuklah kadar cukai korporat konsesi antara sifar dan lima peratus.
“Selain itu, kadar cukai pendapatan individu khas sebanyak 15 peratus juga ditawarkan untuk pekerja berpengetahuan dan rakyat Malaysia yang memilih bekerja di SFZ ini.
“Insentif ini dijangka dapat menarik perniagaan, institusi kewangan dan individu bernilai tinggi sekali gus meningkatkan kedudukan Forest City sebagai destinasi pelaburan pilihan.
“Kita harap dengan kemasukan pelaburan ke Malaysia akan membina industri baharu, sekali gus memberi peluang kepada rakyat tempatan mendapat pekerjaan lebih baik dengan ganjaran sepadan, selari dengan Kerangka Ekonomi Madani,” katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah turut memaklumkan Forest City bakal menjadi hab bagi perkhidmatan perniagaan global kewangan, teknologi kewangan dan pengendali sistem pembayaran asing.
“Kita mahu jadikan SFZ Forest City ini sebagai hab kewangan antarabangsa seperti di Shenzen, China dan juga Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE),” katanya.