AGENSI
Tokyo: Perkhidmatan kereta api laju Shinkansen, baru-baru ini, segera diberhentikan selepas dua kereta api yang disambungkan, terpisah ketika dalam perjalanan menghala ke Tokyo.
Dua kereta api itu membabitkan kereta api Hayabusa dengan 10 gerabak, dan kereta api Komachi dengan tujuh gerabak.
Agensi berita Japan News melaporkan, ketika kejadian pagi 19 September itu, kereta api yang bersambung itu bergerak antara stesen Furukawa dan Sendai di wilayah Miyagi.
Pengendali Kereta Api Jepun Timur (JR East) berkata, ia adalah kali pertama dua kereta api bersambung, terpisah semasa bergerak.
Kata syarikat itu, ia akan memeriksa tren berkenaan dan menyiasat punca kejadian.
Susulan insiden itu, perkhidmatan kereta api laju Tohoku Shinkansen antara stesen Tokyo dan Shin-Aomori, digantung selama lima jam di kedua-dua arah dan disambung semula pada jam 1 tengah hari pada hari kejadian.
Menurut JR East, terdapat kira-kira 200 penumpang di kereta api Hayabusa dan 120 lagi di kereta api Komachi.
Tiada laporan penumpang cedera.
Katanya, kereta api itu tidak tergelincir dan sistem penyaman udara terus berfungsi seperti biasa.
JR East berkata, pengganding yang menghubungkan dua kereta api berlainan dikawal oleh program, yang membolehkannya terpisah apabila kereta api bergerak perlahan iaitu kurang lima kilometer sejam.