KDN tamatkan kontrak NIISe syarikat Iris terkait Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Iris Corp Bhd mengumumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menamatkan kontrak untuk Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) berkuat kuasa serta merta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Iris berkata anak syarikat milik penuhnya, Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS), yang dikontrakkan sebagai pemaju sistem imigresen baharu itu, hari ini menerima notis daripada KDN yang bertarikh 10 Ogos 2023, yang memaklumkan penamatan kontrak itu.

Iris berkata, ia sedang mendapatkan nasihat perundangan daripada peguam dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi kepentingan serta hak undang-undangnya berkaitan dengan kontrak itu.

“Penamatan kontrak NIISe dijangka akan memberikan impak terhadap prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024.

Walau bagaimanapun, tahap kesannya tidak boleh ditentukan dengan tepat pada masa ini,” kata Iris.

Ia menambah, kontrak itu dijangka tidak mempunyai sebarang impak operasi material terhadap kumpulan.

IITS pada 23 Mei lalu telah menerima surat lanjutan kontrak daripada KDN bagi tempoh 12 bulan bermula 1 September 2025 sehingga 31 Ogos 2026.

IITS adalah pembangun sistem NIISe yang dikatakan bakal menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS) yang diguna pakai oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sejak 13 tahun lalu.

Kes ini menyebabkan menantu Muhyiddin dan seorang peguam kekal diburu hingga kini selepas berjaya melarikan diri ke luar negara.

Back To Top