Insiden roller coaster yang mencederakan 10 pengunjung di sebuah taman tema terkenal di Subang Jaya kini menimbulkan lebih banyak persoalan selepas pengasas Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah sendiri mengesahkan bahawa kemalangan pada malam Sabtu lalu berlaku di Sunway Lagoon.
Media sebelum ini dalam laporan awal mengenai kejadian berkenaan, melaporkan sebagai “sebuah taman tema di Subang Jaya” tanpa menamakan Sunway Lagoon.
Semua takut menyebut mengenai Sunway Lagoon kerana umum mengenai syarikat itu dikuasai taikun terkenal Tan Sri Jeffrey Cheah.

22 Naik Roller Coaster, 10 Cedera
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat sebelum ini mengesahkan kemalangan berlaku kira-kira jam 9 malam pada Sabtu ketika 22 pengunjung menaiki roller coaster berkenaan.
Penumpang terdiri daripada rakyat tempatan dan pelancong asing berusia antara 11 hingga 44 tahun. Sepuluh daripada mereka mengalami kecederaan dan dibawa ke pusat perubatan sekitar Subang Jaya.
Kesemua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan tiada kematian berlaku. Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 11.45 pagi keesokan harinya dan siasatan masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kemalangan.
Jeffrey Cheah Akhirnya Sahkan: Memang Sunway Lagoon
Identiti lokasi itu kemudian disahkan sendiri oleh pengasas Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah.
Cheah memberitahu New Straits Times bahawa pihaknya amat kesal dengan kejadian tersebut dan bersyukur tiada kematian berlaku. Beliau turut mengemukakan pandangan awal bahawa kemalangan itu mungkin berkaitan dengan “metal fatigue” atau kelesuan logam.
Lebih menarik, Cheah turut mendedahkan bahawa permainan tersebut pernah ditutup sementara kira-kira dua hingga tiga minggu sebelum kemalangan untuk menjalani pemeriksaan menyeluruh dan kerja penyelenggaraan.
Pendedahan ini membuka satu persoalan yang jauh lebih penting:
Apakah yang ditemui ketika pemeriksaan tersebut, komponen apa yang diselenggara atau diganti, siapa yang mengesahkan roller coaster itu selamat untuk kembali beroperasi, dan adakah kemungkinan kelesuan logam telah dikesan ketika pemeriksaan?
Jika permainan baru sahaja menjalani pemeriksaan menyeluruh beberapa minggu sebelum kejadian, rekod penyelenggaraan dan laporan pemeriksaan teknikal menjadi dokumen penting bagi menentukan sama ada kemalangan ini benar-benar tidak dapat dijangka atau terdapat tanda amaran lebih awal.
Dakwaan Bekas Penguat Kuasa: Isu Keselamatan Pernah Dibangkitkan?
Kenyataan Tan Sri Jeffrey Cheah bahawa insiden itu mungkin berpunca daripada kelesuan logam (metal fatigue) mencetuskan persoalan lebih besar apabila beberapa dakwaan lama mengenai tahap keselamatan permainan di taman tema berkenaan kembali diperkatakan di media sosial.
Seorang pengguna Thread yang memperkenalkan dirinya sebagai Zack Zainal Abidin bekas pegawai penguat kuasa MPSJ mendakwa pernah terlibat dalam pemeriksaan sebuah permainan di taman tema berkenaan kira-kira 10 tahun lalu. Menurutnya, pemeriksaan ketika itu didakwa menemukan peralatan permainan yang sudah lama, berkarat dan tidak selamat.

Lebih serius, individu berkenaan mendakwa beliau pernah menghalang permainan tersebut daripada disambung semula operasinya atas faktor keselamatan, namun mendakwa operasi kemudiannya diteruskan. Beliau turut membuat dakwaan mengenai campur tangan pihak atasan dan rasuah sehingga isu keselamatan didakwa tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Dakwaan Pengunjung di Media Sosial Perlu Disiasat
Selepas kejadian, beberapa rakaman dan komen pengguna media sosial mula tersebar.
Antaranya dakwaan bahawa roller coaster bergerak laju sebelum berhenti secara mengejut ketika menuruni landasan. Seorang pengguna turut mendakwa terdengar bunyi seakan-akan besi patah sebelum permainan itu berhenti.
Dakwaan tersebut penting sebagai keterangan saksi yang berpotensi membantu siasatan, tetapi ia belum disahkan secara teknikal oleh polis, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH), jurutera bebas atau Sunway Lagoon.
Rakaman yang tular pula menunjukkan seorang wanita dibawa menggunakan pengusung menuruni tangga berhampiran kawasan landasan roller coaster. Video itu menjadi antara bahan yang mencetuskan perhatian orang ramai terhadap kejadian berkenaan.

Begitu juga dengan dakwaan lebih serius yang beredar bahawa permainan berkenaan “sudah lama tidak selamat tetapi terus dibenarkan beroperasi kerana campur tangan pihak atasan.”
Sunway Pernah Gunakan Pemeriksaan TÜV Rheinland
Menariknya, rekod lama menunjukkan aspek keselamatan permainan Sunway Lagoon bukan perkara baharu.
Dokumen kajian kes TÜV Rheinland menunjukkan Sunway Lagoon Water Park pernah mendapatkan khidmat badan pemeriksaan antarabangsa itu pada 2016 untuk pemeriksaan permainan taman tema.
Skopnya termasuk ujian fungsi, pemeriksaan sistem secara bebas, ujian perjalanan dan percubaan operasi, dengan rujukan kepada standard seperti EN 13814 serta garis panduan DOSH.
Ini menjadikan persoalan mengenai sistem pemeriksaan semasa semakin relevan.
Adakah roller coaster yang terlibat dalam kemalangan 2026 turut menjalani pemeriksaan oleh badan bebas? Bilakah pemeriksaan terakhir dilakukan? Apakah hasilnya? Siapa yang memberikan kelulusan teknikal untuk permainan itu kembali membawa pengunjung selepas penutupan dua atau tiga minggu sebelumnya?
Gesaan Siasatan Bebas Semakin Kuat
Ketua UMNO Subang Jaya, Armand Azha Abu Hanifah turut menggesa pengendali taman tema memberikan penjelasan rasmi mengenai kejadian dan tindakan yang diambil terhadap mangsa.
Beliau meminta aspek keselamatan permainan, rekod penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal serta pematuhan prosedur operasi diperiksa secara menyeluruh dan bebas.
Menurutnya, sekiranya terdapat kecuaian atau pelanggaran prosedur, tindakan perlu diambil terhadap pihak bertanggungjawab tanpa mengira status atau kedudukan mereka.
Gesaan itu wajar diberi perhatian.
Isunya bukan semata-mata bahawa 10 orang hanya mengalami “kecederaan ringan”. Dalam industri taman tema, kegagalan mekanikal pada sebuah roller coaster yang membawa 22 manusia pada satu-satu masa merupakan isu keselamatan awam yang serius.
Jangan Lindungi Jenama, Lindungi Pengunjung
Sunway merupakan sebuah kumpulan korporat besar dan Sunway Lagoon pula antara taman tema paling dikenali di Malaysia. Namun kedudukan korporat sesebuah syarikat tidak seharusnya mempengaruhi tahap ketelusan apabila berlaku kejadian yang membabitkan keselamatan orang ramai.
Tan Sri Jeffrey Cheah melindungi Sunway Lagoon demi keselamatan pengunjung. Buktikan Taman Tema Sunway Lagoon ini selamat.
Apa yang diperlukan sekarang bukan spekulasi mengenai siapa yang “berkuasa” atau siapa yang cuba melindungi siapa.
Yang diperlukan ialah rekod pemeriksaan, laporan penyelenggaraan, keputusan pemeriksaan teknikal bebas dan penjelasan bagaimana sebuah roller coaster yang dikatakan baru menjalani pemeriksaan menyeluruh dua atau tiga minggu sebelumnya akhirnya terlibat dalam kemalangan sehingga mencederakan 10 pengunjung.
Sekiranya semuanya dilakukan mengikut piawaian, bukti teknikal akan membersihkan nama pengendali.
Tetapi sekiranya terdapat amaran keselamatan yang diabaikan, penyelenggaraan tidak mencukupi atau permainan dibenarkan beroperasi walaupun terdapat risiko yang telah diketahui, pihak yang bertanggungjawab perlu menjawabnya — tanpa mengira sebesar mana nama korporat di belakang taman tema tersebut.
