
KUALA LUMPUR: U Mobile Sdn Bhd bekerjasama dengan Qualcomm Services Ltd untuk mempercepat transformasi digital dalam pasaran Internet of Things (IoT) Malaysia menerusi inisiatif yang meningkatkan penjejakan masa nyata, pemantauan peranti serta kecekapan rantaian bekalan.
Ketua Pegawai Maklumat U Mobile, Neil Tomkinson, berkata kerjasama itu akan memacu inovasi dalam penyelesaian IoT, membolehkan rantaian bekalan menjadi lebih berdaya saing dan cekap.
“Rangkaian generasi akan datang kami bersama-sama Qualcomm Aware Platform akan memastikan prestasi yang lancar dengan latensi ultra rendah dan pemindahan data berkelajuan tinggi, membolehkan automasi lebih maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut U Mobile, penyelesaian ini akan meningkatkan pengesanan dan keselamatan aset, menambah baik kecekapan serta mengurangkan kos operasi perusahaan melalui analisis ramalan dan automasi dipacu kecerdasan buatan.

Untuk memperluaskan penggunaan teknologi ini, kedua-dua pihak akan membangunkan strategi khusus untuk pelbagai industri, termasuk sektor yang memerlukan penjejakan masa nyata seperti logistik, penjagaan kesihatan dan pembuatan.
Selain itu, kerjasama ini turut menyasarkan sektor yang bergantung kepada keadaan persekitaran seperti farmaseutikal, pertanian dan logistik rantaian sejuk, serta industri yang sedang melaksanakan transformasi digital seperti peruncitan pintar, minyak dan gas.
Kerjasama strategik ini dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Pavilion Malaysia sempena Mobile World Congress (MWC) 2025 di Barcelona, Sepanyol.
Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Chee Hong Leong. – Bernama