
KUALA LUMPUR: Anak syarikat EcoWorld Malaysia, Eco Business Park 1 Sdn Bhd, menjual tanah pegangan bebas seluas 56.06 hektar di Eco Business Park I, Iskandar Malaysia, Johor, kepada Microsoft Payments (Malaysia) Sdn Bhd pada harga RM693.96 juta.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu menyatakan tanah berkenaan merangkumi 117 lot tanah kosong pegangan bebas serta rizab jalan.
“Sebahagian daripada hasil jualan itu akan digunakan untuk menyiapkan pembangunan infrastruktur utama serta menampung perbelanjaan berkaitan dalam tempoh 24 bulan dari tarikh perjanjian jual beli (SPA). Baki selebihnya akan digunakan sebagai modal kerja bagi kumpulan syarikat EcoWorld Malaysia,” menurut kenyataan tersebut.

Sebelum ini, EcoWorld Malaysia berjaya menjual dua lot tanah strategik di taman perniagaan QUANTUM Edge kepada pengendali pusat data dalam tahun kewangan 2024, menjana hasil keseluruhan RM626 juta.
Dengan penjualan tanah terbaharu ini, jumlah keseluruhan jualan tanah kepada pemain pusat data kini melebihi RM1.3 bilion dalam tempoh kurang setahun, sekali gus meningkatkan rizab tunai kumpulan kepada RM1.36 bilion setakat 31 Oktober 2024.
“Ini menunjukkan EcoWorld Malaysia berada dalam kedudukan kukuh, bukan sahaja untuk memperluas simpanan tanahnya tetapi juga mengejar peluang strategik dalam memperkasa portfolio aset pendapatan berulang dalam sektor komersial dan perindustrian,” katanya.
— BERNAMA