Gamuda Bangunkan Semula Tapak Deutsche Bank Bernilai RM6.6 Bilion di London

KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd memeterai perjanjian kemudahan pinjaman pembangunan hartanah utama dengan pelabur hartanah, Castleforge berjumlah £500 juta (RM2.75 bilion) bagi membangunkan projek 75 London Wall di United Kingdom (UK).

Kemudahan pinjaman itu, yang dianggap antara yang terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah bagi membiayai pembangunan yang dahulunya dikenali sebagai Winchester House, terletak di kawasan kewangan ibu kota yang dikenali sebagai City of London.

Sebelum ini, tapak berkenaan adalah ibu pejabat lama Deutsche Bank di London.

Majlis pecah tanah bagi pembangunan semula bernilai £1.2 bilion (RM6.6 bilion), kelmarin dihadiri oleh pegawai utama kerajaan United Kingdom, termasuk Ketua Hal Ehwal Pelabur untuk Kerajaan UK, Gus Wiseman; dan Timbalan Datuk Bandar London, Howard Dawber.

Lebih daripada 80 tetamu hadir termasuk pihak pembiaya, ejen hartanah dan pelbagai pakar pembangunan hartanah serta persekitaran binaan. Selepas projek itu siap pada 2027, 75 London Wall akan menawarkan ruang pejabat lestari gred-A dengan keluasan 465,822 kaki persegi.

Tingkat bawah pembangunan itu akan menampilkan unit komersial baharu, bersama ruang forum budaya untuk acara, persembahan dan perucapan awam, selain kawasan hijau terbuka.

Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling, berkata pembangunan itu masih di peringkat awal selepas memperoleh aset berkenaan dengan harga £250 juta (RM1.4 bilion) pada Jun 2023.

Katanya, dalam tempoh 12 bulan selepas itu, Gamuda mendapat kelulusan perancangan daripada City of London, yang dianggap tempoh paling singkat setakat ini.

“Majlis ini juga menyaksikan Gamuda dan rakan kongsi kami, Castleforge, menandatangani perjanjian pinjaman. Kami memiliki 75 peratus kepentingan dalam pembangunan usaha sama ini dan akan mengetuai projek ini.

“Pembangunan semula yang penting ini akan mengubah bangunan tersebut menjadi hab komersial mampan di salah satu daerah perniagaan paling kompetitif di dunia,” katanya.

Yun Ling berkata, London kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk kebanyakan syarikat multinasional (MNC).

“London menjadi tuan rumah kepada pelbagai MNC dan ibu kota ini adalah pusat kepada sebahagian besar eksport utama negara perkhidmatan global,” katanya.

Back To Top