Selepas membalun Tan Sri Vincent Tan pengasas U Mobile sebelum ini yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan rakan niaganya Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) kini ahli Perikatan Nasional (PN) meminta kerajaan mengumumkan segera ‘exit strategy’ wakil U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) dalam Digital Nasional Bhd (DNB) susulan pemilihannya sebagai penyedia 5G kedua negara.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, mempersoalkan mengapa Putrajaya belum mengarahkan wakil syarikat itu melepaskan jawatan dalam syarikat tersebut sebagai ahli lembaga pengarah DNB.
Beliau yang juga ketua portfolio komunikasi Ahli Parlimen PN berkata, langkah kerajaan menganugerahkan spektrum kepada U Mobile membuatkannya sebagai pesaing kepada DNB iaitu syarikat bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan).
“Apabila U Mobile ada wakil dalam lembaga pengarah DNB, adakah itu bermaksud kerajaan sengaja memberikan kelebihan yang tidak adil kepada U Mobile? Ini kerana wakil itu pasti ada akses kepada pelbagai maklumat sensitif mengenai operasi dan strategi DNB.
“Kenapa pesaing dibiarkan mengumpul maklumat yang kemudian boleh digunakan untuk mengalahkan DNB?” katanya di Facebook.
“Saya menuntut kerajaan segera mengumumkan ‘exit strategy’ bagi U Mobile dari DNB. Jangan teruskan ‘incompetence’ dengan membuat pengumuman tidak lengkap.”
Pada 1 Nov lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengumumkan U Mobile yang dipengerusikan taikun Vincent Tan dipilih melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.
SKMM menjelaskan pemilihannya dibuat atas beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan, serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif prasarana lain.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan pemilihan U Mobile sebagai penyedia rangkaian 5G kedua negara muktamad dan tidak akan disemak semula walaupun berdepan kritikan.
Beliau berkata, ini kerana pemilihan dibuat secara bebas oleh pasukan teknikal dan diputuskan sebulat suara bersama SKMM tanpa campur tangan kerajaan.