Pelawak terkenal, Shuib, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta, tahun lalu.
Turut didakwa ialah Pengarah Bersama, Koh Choon Guan, 33, dan syarikat mereka, Bubblebee Sdn Bhd (Bubblebee), masing-masing atas enam pertuduhan sama.
Bagaimanapun, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 40, dan Choon Guan yang turut mewakili Bubblebee selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan berasingan dikemukakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Mengikut semua pertuduhan itu, mereka didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan RM1,191,153.78 dan penalti RM454,000 bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dibaca bersama Seksyen 78 akta sama dan boleh dihukum bawah seksyen dan akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Bawah Seksyen 26(10) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 serta Seksyen 69(1) akta sama, mereka turut dikehendaki membayar penalti berjumlah RM453,969.42 kepada Ketua Pengarah Kastam.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Wan Abdul Rahim Wan Mahamood dan Nur Amalina Ahmad Nazeri, ,manakala semua OKS diwakili peguam, Muhammad Firdaus Shaik Alauddin.
Pada prosiding itu, pegawai pendakwa mencadangkan setiap OKS dikenakan ikat jamin sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan, dengan alasan cukai yang belum dibayar adalah tinggi.
Bagaimanapun, Muhammad Firdaus yang mewakili semua OKS itu berkata, anak guamnya sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang kes itu disiasat, selain tiada keadaan mendesak sehingga memerlukan mahkamah menetapkan ikat jamin.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rasyihah membenarkan Shuib dan Choon Guan diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi semua pertuduhan, serta menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 Disember depan.
Isnin lalu, Bubblebee, Shuib dan Choon Guan didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret di sini atas tujuh pertuduhan, termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun lalu.
Shuib dan Choon Guan dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.