Belanjawan 2025: Malaysia bakal kuasa digital serantau – Microsoft

Microsoft komited bekerjasama dengan kerajaan untuk memacu inovasi kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab di Malaysia dan membentuk transformasi digital dengan memberi manfaat kepada semua orang pada masa depan.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si berkata Belanjawan 2025 diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, mencerminkan komitmen kerajaan untuk mencipta hasil positif untuk Malaysia melalui memacu inovasi AI dan penggunaan yang bertanggungjawab.

“Sokongan untuk perusahaan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) untuk memanfaatkan teknologi digital dan AI transformatif akan meningkatkan daya saing dan daya tahan global negara, memacu perjalanan kita ke arah status negara berpendapatan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Di bawah Belanjawan 2025 melibatkan peruntukan RM421 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah diumumkan, kerajaan telah mencadangkan untuk memperuntukkan RM10 juta kepada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) serta meningkatkan penyelidikan dan pembangunan kepada RM600 juta.

Si berkata iai akan memainkan peranan penting untuk memanfaatkan peluang generasi akan datang, melibatkan AI dan sains, memperkasakan penyelidik tempatan untuk menangani cabaran kompleks dan menghasilkan manfaat eksponen merentas masyarakat.

Beliau berkata pengukuhan ekosistem AI tempatan akan membolehkan Malaysia membuka pelbagai manfaat daripada pelaburan yang semakin meningkat dalam infrastruktur digital, menempatkan negara sebagai kuasa digital serantau.

“Inisiatif ASEAN AI Safe akan berlaku semasa Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, memupuk usaha kolaboratif untuk merealisasikan manfaat AI transformatif secara bertanggungjawab di seluruh rantau ini,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cult Creative, Shermaine Wong berkata belanjawan itu adalah langkah penting dalam memupuk bakat dan inovasi, kedua-duanya diyakini sebagai tonggak teras ekonomi Malaysia terutamanya dalam sektor digital.

Beliau berkata industri yang mempunyai bakat yang tinggi, inisiatif yang mengutamakan pembiayaan, alat digital dan sokongan untuk usahawan kandungan adalah tepat pada masanya dan penting untuk memacu daya saing dan pertumbuhan jangka panjang.

Beliau berkata Geran Pemadanan Digital RM50 juta dan Geran Digital Bank Simpanan Nasional seiring dengan keperluan “usahawan pencipta kandungan” masa kini.

Wong menekankan bahawa Dana Pelaburan Strategik RM1 bilion di bawah Rangka Kerja Insentif Pelaburan Baharu bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kapasiti bakat tempatan tetapi juga menggalakkan pelaksanaan aktiviti bernilai tinggi yang boleh meningkatkan pencipta kandungan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Cult Creative percaya dengan memupuk bakat dan menyediakan akses kepada sumber akan merangsang inovasi yang lebih besar, memperkasakan golongan muda yang kreatif dan membuka peluang baharu dalam industri,” katanya.

– Bernama

Back To Top