Prinsip BNM Kekal, Keputusan OPR Ditentukan Oleh Keadaan Domestik – Amir Hamzah

Prinsip Bank Negara Malaysia (BNM) masih kekal pada masa ini dalam menentukan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang akan terus didorong oleh prospek pertumbuhan serta inflasi negara, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Ketika menegaskan pendirian itu, beliau berkata paras semasa OPR pada 3.00 peratus juga adalah kondusif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

“Prinsipnya (masih) tetap sama untuk situasi sekarang. Pertimbangan BNM berbeza daripada bank pusat lain dan lebih bergantung kepada keadaan kita sendiri.

“Ekonomi Malaysia pada masa ini berada pada tahap yang menggalakkan dan tekanan harga juga masih terkawal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai pendirian BNM, termasuk kemungkinan mengikut langkah bank-bank pusat Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) yang bertindak menurunkan kadar faedah masing-masing.

Teks jawapan Amir Hamzah telah dibacakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

BNM sebelum ini mengekalkan OPR pada paras sama walaupun bank pusat AS bertindak menaikkan kadar dasarnya secara mendadak kepada lingkungan 5.00 peratus.

— BERNAMA 

Back To Top