ByteDance berhentikan lebih 700 kakitangan TikTok di Malaysia, perluas peranan AI dalam bahagian kandungan

TikTok Malaysia yang beroperasi di bawah syarikat induknya, ByteDance Ltd mengesahkan berlaku pemberhentian kakitangan yang terlibat dalam bahagian kandungan, walaupun jumlah sebenar pekerja yang terlibat belum didedahkan.

TikTok menjelaskan, langkah yang diambil itu merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk memperkukuh model operasi global kandungan.

Bagaimanapun, satu laporan Reuters melaporkan, syarikat berkenaan memberhentikan lebih 700 pekerja dari unitnya di Malaysia ketika syarikat tersebut mengalihkan tumpuan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih meluas.

Pekerja-pekerja tersebut, yang kebanyakannya terlibat dalam operasi pemantauan kandungan syarikat, dimaklumkan tentang pemecatan mereka melalui e-mel pada 9 Oktober 2024, jelas sumber yang dipetik Reuters.

Sebagai reaksi kepada pertanyaan Reuters, TikTok mengesahkan pemecatan tersebut hari ini, tetapi menyatakan tidak dapat memberikan angka tepat mengenai jumlah pekerja yang terjejas di Malaysia.

Syarikat itu menjangkakan beberapa ratus pekerja akan terjejas secara global sebagai sebahagian daripada pelan yang lebih luas untuk meningkatkan operasi pemantauannya. 

TikTok menggunakan gabungan pengesanan automatik dan moderator manusia untuk menilai kandungan yang diposkan di laman webnya.

Menurut laman web syarikat, ByteDance mempunyai lebih daripada 110,000 pekerja di lebih 200 bandar di seluruh dunia.

Menurut sumber, syarikat teknologi itu juga merancang lebih banyak pemberhentian bulan depan ketika ia berusaha untuk menggabungkan beberapa operasi serantau.

“Kami melakukan perubahan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan model operasi global kami bagi pemantauan kandungan,” kata jurucakap TikTok dalam satu kenyataan.

Syarikat itu menjangkakan untuk melabur RM8.56 bilion secara global dalam kepercayaan dan keselamatan tahun ini dan akan terus meningkatkan kecekapan, dengan 80% kandungan yang melanggar garis panduan kini telah dibuang oleh teknologi automatik.

Pemberhentian pekerja itu dibuat ketika syarikat teknologi global menghadapi tekanan peraturan yang lebih besar di Malaysia, di mana kerajaan meminta pengendali media sosial untuk memohon lesen operasi menjelang Januari 2025 sebagai sebahagian daripada usaha untuk memerangi kesalahan siber.

Malaysia melaporkan peningkatan mendadak dalam kandungan media sosial yang berbahaya awal tahun ini dan mendesak syarikat-syarikat termasuk TikTok, untuk meningkatkan pemantauan di platform mereka. 

Back To Top