7 Oktober lalu media melaporkan Theta Edge Berhad milik Tabung Haji mengaku dan mengesahkan kerjasama dengan Nylex Consortium (Nylex dan Ancom) bagi projek membina pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT) dan Autonomous Rail Rapid Transit (ART) di Johor Bahru.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata Theta Edge terlibat dalam projek itu.
“Kerjasama ini menawarkan penyelesaian perkhidmatan (MaaS) yang inovatif dan mampu mengubah mobiliti bandar dengan positif. Projek tersebut juga adalah sebahagian penting dari visi untuk mencipta masa depan maju serta teknologi yang saling terhubung,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Maka terjawablah persoalan adalah benar Theta Edge Berhad syarikat milik Lembaga Tabung Haji dalam projek Transit Aliran Ringan (LRT) dan Autonomous Rail Rapid Transit (ART). Sekalipun mereka hanya menyebut Nylex Consortium tetapi bukan satu rahsia maklumat yang diperolehi Malaysia Corporate konsortium itu dinaungi oleh Berjaya Group.
Persoalannya mengapa Ketua Pegawai Eksekutifnya THETA Datuk Nuraslina Zainal Abidin menyembunyikan Berjaya Group atau Berjaya Rail sebagai pembiaya utama projek ini?
BERJAYA GROUP TERLIBAT PERJUDIAN SATU FITNAH?
Bukankah ini fakta sebenar dan bukan fitnah bahawa Berjaya Group terlibat dalam pelbagai perniagaan termasuk perjudian dan ‘gaming’ seperti Berjaya Intemational Casino Management (Seychefes)Limited, Sports Toto Berhad, STM Lottery Sdn Bhd, International Lothory& Totalzator Systems.Inc. USA, Unisyn Voting Solutions,Inc.US4, Berjaya Philippines lnc, Philippines Gaming Management Corporation dan Berjaya Gi Thinh Investment Technology Joint Stock Company (Rujuk Rajah)
Persoalan yang dibangkitkan rakyat ialah kebimbangan jika Theta Edge Berhad pemegang saham terbesarnya Lembaga Tabung Haji sebuah institusi Islam penting maka perlukah syarikat TH tu bergabung atau bekerjasama dengan syarikat Berjaya Group?
Dalam segala bentuk pelaburan TH bukankah TH sentiasa memastikan pelaburannya adalah patuh shariah, memperoleh pulangan yang kompetitif demi menjamin sembilan (9) juta pendeposit TH selain pengurusan simpanan yang halal. Maka sudah tentu dalam segala bentuk kerjasama latar belakang syarikat itu diteliti terlebih dahulu jika tidak rakyat akan mempersoalkan ini sebagai perkara syubhah. Jadi bagaimana ia sebagai fitnah?
Rakyat pasti meminta penjelasan hubungan Berjaya Group dengan Theta Edge. Pada 12 julai lalu Redtone Digital Berhad syarikat yang dikuasai Berjaya Group Berhad menjadi pemegang saham keempat terbesar Theta Edge. Mengapa? Tiada syarikat membeli kepentingan sebuah syarikat jika tanpa sebab.
Theta Edge sepatutnya menjelaskan kedudukannya bersama Berjaya Group itu. Membuktikan tiada kaitan langsung Berjaya dalam konsortium bersama Nylex dan Theta yang dilaporkan sedang melobi Projek ART di Johor Bahru. Menafikan Berjaya Group terlibat perjudian ibarat menutup bangkai gajah dengan nyiru! Jika Berjaya Group di belakangnya tentulah meragukan dan rakyat berhak bertanya.
Latar belakang dan rekod sesebuah syarikat senarai awam bukanlah rahsia kerana boleh diakses di mana-mana domain awam secara terbuka. Rakyat perlu tahu apa yang berlaku. Imej syarikat Lembaga Tabung Haji yang gagal sebelum ini telah banyak didedahkan dalam media termasuk Theta Edge Bhd pernah ditamatkan kontrak ICT kerana gagal menyiapkan projek Insitut Jantung Negara. Begitu juga anak syarikat TH melingkup seperti TH Heavy Engineering. Rakyat dan pelabur TH mahu tahu bimbang kegagalan anak syarikat TH akan berulang lagi.
Jika Theta Edge boleh gagal Projek ICT IJN inikan pula projek Transit Aliran Ringan (LRT) dan Autonomous Rail Rapid Transit (ART) yang tidak pernah diceburi Theta Edge. Bukankah persoalan rakyat ini ada asasnya?
Tidak ada isu mengenai rakan strategik lain seperti China Harbour Engineering Company Limited, China Energy Engineering Corporation Limited kerana mereka memang pembekal kepada projek Autonomous Rail Rapid Transit (ART). Siapa konsesi pun pembekal-pembekal ini orang yang sama. Sama ada projek itu LRT atau ART atau mungkin kedua-duanya telah dijelaskan oleh Kerajaan Negeri Johor iaitu RM16.7 bilion (LRT) atau bayar RM7 bilion (ART).
Dalam satu aduan Theta Edge Berhad dan Berjaya Group pada 7 dan 10 oktober kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap portal The Malaysia Corporate artikel Projek LRT-ART dibayangi konsortium Berjaya syarikat judi, Nylex (kes rasuah) dan syarikat Tabung Haji itu artikel itu dilapor sebagai memfitnah konsortium itu.
The Malaysia Corporate (MC) memahami keresahan dan cara tafsir artikel itu. Dalam hal ini kerjasama Theta dalam konsortium Nylex-Ancom ini diketuai Berjaya Group tentulah mencemarkan imej Theta Edge dan Lembaga Tabung Haji. Rakyat pastinya satu masa akan tahu juga. Komen rakyat mengenai isu ini tidak baik untuk Kerajaan Madani.
Nuraslina sudah mengesahkan penglibatan projek itu tapi tidak menjelaskan kedudukannya dengan Berjaya Group. Tabung Haji sebagai pemegang saham terbesar Theta Edge perlu menjelaskan kedudukan dan kebimbangan rakyat. Sebelum rakyat melihat kerjasama ini lebih baik diperjelaskan lebih awal agar kerajaan menanganinya dengan baik.
BAGAIMANA DENGAN NYLEX-ANCOM – KES RASUAH & BERSTATUS PN17
Kemudian dua lagi syarikat bawah konsortium Berjaya iaitu Ancom Nylex Bhd dan Nylex Malaysia Bhd hanyalah syarikat pengeluar bahan kimia pertanian dan racun rumpai serta produk kimia lain bukan syarikat industri rail.
Apakah pengalaman Nylex-Ancom dalam pembuatan LRT dan ART? Bukankah Pengerusi Ancom Nylex Bhd dan Nylex Malaysia Bhd ialah DATO’ SIEW KA WEI bekas Pengerusi Tourism Malaysia yang pernah kontroversi direman SPRM kes rasuah skandal “Speedy Gonzales” kempen periklanan di China RM99.963 million yang pernah kecoh tahun 2019?
SYOR ARTIKEL
Sekalipun kes ini tertangguh dan belum didakwa namun apa perlunya Ketua Pegawai Eksekutifnya THETA Datuk Nuraslina Zainal Abidin mengumumkan bekerjasama dengan syarikat Dato’Siew Ka Wei syarikat berstatus bermasalah kewangan PN17 di Bursa Malaysia?
Kerjasama Theta dan Konsortium Nylex syarikat tidak berintegriti memalukan syarikat milik Lembaga Tabung Haji itu!.
Menurut Datuk Nuraslina Zainal Abidin Dengan kepakaran kolektif kedua syarikat (Theta dan Nylex), dijangka dapat memberikan sistem pengangkutan yang canggih, meningkatkan mobiliti bandar, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di Johor Bahru tetapi kedua-duanya tidak berpengalaman dalam projek Transit Aliran Ringan (LRT) dan Autonomous Rail Rapid Transit (ART) malah Nylex PN17.
Sekali lagi mudah perjelaskan kedudukan sebenar Theta Edge milik TH yang bekerjasama dengan Nylex Malaysia Bhd tiada kaitan dengan Berjaya Group? Pihak editorial akan memadam artikel pertama sebelum jam 5 petang nanti namun kegusaran rakyat Theta Edge dengan Berjaya Group perlu diperjelaskan. Beri kenyataan media dan kembalikan keyakinan rakyat, syarikat milik Tabung Haji institusi Islam ini tidak sama sekali syubhah dengan Berjaya Group yang semua tahu siapa mereka.
Kepada SKMM ampun rakyat marhaen mahu tahu.