Sorento Capital sasar RM57.4 juta hasil IPO

Penyedia penyelesaian kelengkapan sanitari untuk bilik mandi dan dapur, Sorento Capital Bhd menyasar untuk mengumpul RM57.4 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan terbitan 155 juta saham biasa pada harga 37 sen sesaham.

Menerusi prospektus syarikat yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 28 Oktober ini, Sorento Capital memperuntukkan RM31.4 juta (54.7 peratus) untuk modal kerja bagi pembelian inventori.

Selain itu, RM6 juta (10.5 peratus) akan digunakan untuk menyokong usaha penjenamaan dan pemasaran promosi, manakala RM6 juta (10.5 peratus) lagi akan disalurkan kepada pengembangan rangkaian pengedar dan peningkatan jangkauan pengedaran.

Manakala, sebanyak RM9 juta (15.6 peratus) akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank dan baki RM5 juta (8.7 peratus) akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

Daripada 155 juta saham terbitan, sebanyak 43 juta saham terbitan akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia melalui undian, manakala 16 juta saham terbitan diperuntukkan kepada pengarah, pekerja serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan (Peruntukan Borang Merah Jambu).

Baki 96 juta saham terbitan akan diperuntukkan kepada penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Pengarah Eksekutif Sorento Capital, Jayden Loo Jing Kai, berkata syarikat merancang untuk menambah sebanyak 200 pengedar baharu di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami kini mempunyai rangkaian 664 pengedar di seluruh Malaysia yang menyediakan capaian luas kepada pengguna akhir, yang seterusnya akan meningkatkan keterlihatan jenama dan produk, serta memacu pertumbuhan bahagian pasaran dan prestasi kewangan kami.

“Peningkatan bilangan pengedar di seluruh negara tidak menumpukan kepada wilayah tertentu. Pendekatan kami akan membabitkan analisis saiz pasaran setiap wilayah dan menyesuaikan strategi pemasaran dengan sewajarnya bersama pengedar.

“Seperti di Lembah Klang, kami akan melaksanakan strategi pemasaran yang khusus untuk pangkalan pelanggan di kawasan terbabit, manakala di wilayah seperti Pantai Timur, kami akan menyesuaikan pendekatan mengikut populasi tempatan,” katanya selepas pelancaran prospektus Sorento Capital di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelancaran prospektus ini akan membawa syarikat mengembang dan mengukuhkan kehadiran pasaran dalam industri yang sedang berkembang.

Katanya, syarikat telah memperluaskan aktiviti perniagaan kepada pemasaran, pengedaran dan penjualan jenama rumah lain iaitu Mocha, Cabana, dan i-Born, untuk memenuhi pelbagai pilihan pelanggan dan tahap pendapatan.

“Kami juga merupakan pengedar yang sah untuk jenama luar negara yang mewah, seperti menjadi pengedar bukan eksklusif untuk jenama Jerman, ‘Bravat’ dan pengedar eksklusif untuk jenama Sepanyol, ‘Infinity’ di Malaysia,” katanya.

Back To Top