Seorang penyamar licik seperti watak dimainkan pelakon Hollywood, Leonardo DiCaprio dalam filem Catch Me If You Can, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas tuduhan menipu tawaran pekerjaan.
Mohamad Faizul Baharudin, 44, yang berjaya ditahan polis Selasa lalu selepas dilaporkan menjadi buruan selama enam tahun, didakwa di hadapan Majistret Siti Nora Shariff, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukan hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Tertuduh dilaporkan pernah menyamar sebagai timbalan pendakwa raya, juruterbang, jurutera syarikat minyak dan gas serta pelbagai profesion lain untuk memperdaya mangsa.
Bapa lima anak itu didakwa dengan curang menipu Latipah Ahmad Sudan, 60, dengan mendorong mangsa menyerah wang tunai RM24,000 untuk mendapat pekerjaan jurutebang yang tidak wujud.
Dia yang dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan mesin ATM sebuah bank di Gunung Rapat, di sini, antara jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari, 22 Disember 2016 hingga 8 April 2018, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini menawarkan ikat jamin RM10,000, tetapi peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert S Gnanarajan yang mewakili tertuduh, memohon jaminan rendah.
Peguam memberi alasan Mohamad Faizul menanggung seorang isteri dan lima anak, selain tiada halangan sekiranya dikenakan syarat tambahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dan menetapkan 27 November depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan Harian Metro, berkata suspek ditahan jam 11.45 malam Selasa lalu di sekitar Ampang, Selangor.
Menurutnya, lelaki itu ditahan bersabit siasatan kes penipuan untuk mendapatkan pengesahan lesen juruterbang tidak wujud yang dilaporkan oleh seorang pengadu di Ipoh.