Ekovest Dikuasai Tan Sri Lim Kang Hoo Raih Konsesi Lebuhraya LIKE Bernilai RM2.32 Bilion

KUALA LUMPUR: Ekovest Bhd, syarikat infrastruktur yang dikuasai oleh taikun pembinaan Tan Sri Lim Kang Hoo, memperoleh konsesi untuk membangunkan Lebuhraya Laluan Istana–Kiara (LIKE) dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM2.32 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ekovest memaklumkan bahawa anak syarikatnya, Lebuhraya DUKE Fasa 2A Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian konsesi dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek lebuh raya tersebut.

Menurut kenyataan syarikat itu, tempoh konsesi bagi projek LIKE adalah selama 54 tahun, bermula dari tarikh kuat kuasa perjanjian.

Di bawah perjanjian tersebut, Ekovest akan bertanggungjawab melaksanakan reka bentuk dan pembinaan lebuh raya LIKE, selain membekal serta memasang sistem kutipan tol dan peralatan berkaitan di gantri atau plaza tol.

Syarikat itu juga akan mengurus, mengendalikan serta menyelenggara lebuh raya berkenaan sepanjang tempoh konsesi.

“Perjanjian itu turut membenarkan Ekovest menuntut, mengutip dan mengekalkan hasil kutipan tol bagi manfaat syarikat daripada semua kenderaan yang menggunakan LIKE, sama ada dalam tempoh praoperasi (jika ada) mahupun sepanjang tempoh operasi,” menurut kenyataan tersebut.

Ekovest merupakan antara pemain utama dalam sektor pembinaan dan infrastruktur lebuh raya di Malaysia, dengan projek utama seperti Lebuhraya Duta–Ulu Klang (DUKE) yang dibangunkan oleh kumpulan tersebut.

Back To Top