KUALA LUMPUR – MMAG Holdings Berhad menyaksikan pengunduran sepenuhnya Dato’ Seri Farhash Wafa Salvador daripada kumpulan logistik itu, susulan peletakan jawatan beliau sebagai pengerusi, pelupusan keseluruhan pegangan saham, serta pemberhentian status sebagai pemegang saham besar.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MMAG memaklumkan Farhash meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif berkuat kuasa 2 Januari 2026, dengan alasan untuk memberi tumpuan kepada komitmen peribadi. Syarikat turut menyatakan tiada sebarang pertikaian dengan lembaga pengarah dan tiada perkara material yang perlu dibawa kepada perhatian pemegang saham.
Peletakan jawatan itu berlaku hanya beberapa hari selepas Farhash melupuskan keseluruhan 462 juta saham MMAG yang dipegangnya pada 31 Disember 2025, sekali gus menyebabkan beliau tidak lagi menjadi pemegang saham substantif syarikat tersebut. Pelupusan berkenaan dibuat pada harga 18.9 sen sesaham, menurut notis perubahan kepentingan dan notis pemberhentian sebagai pemegang saham besar di bawah Seksyen 139 Akta Syarikat 2016.
Pegangan saham itu sebelum ini didaftarkan atas nama Velocity Capital Sdn Bhd, dan diklasifikasikan sebagai kepentingan langsung. Selepas transaksi tersebut, Farhash tidak lagi mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam MMAG.
Farhash sebelum ini muncul sebagai pemegang saham terbesar MMAG pada Mac 2025, apabila beliau memperoleh kira-kira 462 juta saham, mewakili sekitar 20% pegangan, melalui transaksi luar pasaran. Tidak lama selepas itu, beliau dilantik sebagai pengerusi syarikat berkenaan.
Berdasarkan pelaporan pasaran ketika itu, saham MMAG diperoleh pada harga sekitar 40 sen sesaham, menjadikan jumlah pelaburan awal Farhash dianggarkan sekitar RM184.8 juta. Dengan pelupusan pada harga 18.9 sen sesaham, hasil jualan dianggarkan sekitar RM87.3 juta, mencerminkan kerugian kasar hampir RM97.5 juta, tidak termasuk kos transaksi atau pelarasan lain.
Pengunduran Farhash — merangkumi peletakan jawatan lembaga, pelupusan saham dan ceasing sebagai pemegang saham besar — menandakan penamatan sepenuhnya penglibatan beliau dalam MMAG, sekali gus membuka fasa baharu dalam struktur pemilikan dan tadbir urus syarikat tersebut.
